BUKIT MERTAJAM – Permohonan representasi yang dikemukakan pihak peguam Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh pada Disember 2025 bagi menggugurkan kes pertuduhan terhadapnya ditolak Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.
Ketua barisan peguamnya, Aizat Azam berkata, pihaknya telah memohon kepada Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin untuk mengemukakan representasi kedua kepada Peguam Negara bagi menyampaikan fakta, pandangan serta pendapat dari sudut undang-undang berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, permohonan representasi pertama itu dikemukakan kira-kira 10 bulan lalu dan keputusan penolakan dimaklumkan pada prosiding sebutan kes pada Isnin.
“Kita telah membuat satu permohonan kepada mahkamah untuk mengemukakan representasi kedua kepada Tan Sri Peguam Negara bagi menyampaikan fakta, pandangan dan pendapat berdasarkan undang-undang tentang kes ini.
“Insya-ALLAH, selepas ini kita akan mengemukakan representasi tersebut kepada pihak Peguam Negara,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam pada Isnin.
Beliau berkata, kes berkenaan telah berlangsung lebih setahun namun sehingga kini tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan kerana pihak pembelaan masih dalam proses mendapatkan keputusan berhubung permohonan representasi.
Katanya, keadaan itu bermakna pihaknya masih menunggu keputusan Peguam Negara sama ada kes berkenaan akan diteruskan ke peringkat perbicaraan atau sebaliknya.
Ogos tahun lalu, Muhamad Akmal, 38, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran awam di mahkamah sama.
**media[3689518]**
Mengikut pertuduhan, Muhamad Akmal didakwa telah membuat kenyataan di laman Facebook Akmal Saleh.
Perbuatan itu didakwa menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Oleh demikian, beliau dituduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen SO5(b) Kanun Keseksaan [Akta 574].
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 3 petang pada 11 Ogos 2025.
Sehubungan itu, Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit pada ketika itu menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhamad Akmal.
Sementara itu, Aizat berkata, pihak peguam Akmal turut memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara berhubung bidang kuasa beliau dalam menjalankan pendakwaan terhadap anak guamnya.
“Sehingga kini, kes semakan kehakiman tersebut masih dalam peringkat pengurusan kes (case management).
“Esok, kita akan menghadiri pengurusan kes secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kita memerlukan satu tarikh lagi sementara menunggu keputusan representasi kedua yang akan dikemukakan kepada Peguam Negara,” katanya.
**media[3689519]**
Terdahulu, mahkamah menetapkan 4 Januari tahun depan untuk keputusan representasi kedua yang dikemukakan pihak pembelaan.
Kes diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Muna Mohamed Jaafar di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Muhamad Akmal diwakili 10 peguam termasuk Aizat, Syahrul Syazwan Salehin, Hafiz Norkhan, Datuk Mohd Imran Tamrin, Syafiq Bahtiar, Zaki Shah, Fazreen Izuan dan Shakeel Saifuzzaman.
Sebelum itu, Muhamad Akmal tiba di pekarangan mahkamah jam 9 pagi dan ditemani isteri, Datin Dr Fatin Nadhirah Idrus serta beberapa ahli Pemuda UMNO Pulau Pinang termasuk ketuanya, Mohd Hilmi Elias.
Sebelum ini, Muhamad Akmal mengetuai 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Bertam, Kepala Batas sebagai tanda menghormati Jalur Gemilang susulan insiden bendera negara dipamerkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan.
Susulan itu, beliau telah dipanggil memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Sabtu lalu berhubung perhimpunan berkenaan.





