
SEBERANG PERAI – Representasi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bagi menggugurkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kegentaran dan kegusaran awam, pada 11 Ogos tahun lalu ditolak pihak pendakwaan.
Dalam prosiding yang berlangsung di hadapan Majistret Roshayati Radellah, peguam yang mewakili Muhamad Akmal, Aizat Azam berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi kedua kepada Peguam Negara bagi mengemukakan fakta dan hujahan undang-undang berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, permohonan representasi pertama yang dikemukakan pada Disember 2025 itu ditolak oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.
Sehubungan itu katanya, pihak pembelaan akan memohon untuk mengemukakan representasi kedua bagi pertuduhan terhadap anak guamnya itu digugurkan.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Muna Mohamed Jaafar memaklumkan mereka tiada halangan terhadap permohonan berkenaan dan akan memanjangkan representasi baharu itu kepada Peguam Negara.
Bagaimanapun, mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula bagi mengetahui perkembangan representasi tersebut.
Sementara itu, Aizat ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, kes berkenaan telah berlangsung lebih setahun, namun tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.
“Sebaliknya, hari ini kita masih dalam proses untuk mendapatkan keputusan representasi. Ini bermaksud bahawa sama ada kes ini boleh meneruskan untuk perbicaraan ataupun tidak, kita pun masih lagi menunggu keputusan daripada pihak Peguam Negara.
“Jadi, kita hendak maklumkan bahawa susulan daripada kes pertuduhan yang telah dikenakan terhadap Datuk Dr. Akmal Salleh, kami pihak peguam-peguam juga telah membuat satu permohonan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata, kes semakan kehakiman itu masih dalam peringkat pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Sebelum ini, Akmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan menimbulkan kegentaran terhadap keselamatan awam menerusi akaun media sosialnya, pada 11 Ogos tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Dr. Akmal didakwa telah memuat naik kenyataan di laman Facebook ‘Akmal Saleh’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam serta boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Pada 14 Ogos tahun lalu, beliau mengetuai perarakan 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas di Kepala Batas susulan insiden bendera negara dipamerkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di daerah berkenaan..-KOSMO! ONLINE
The post ‘Kes Dr. Akmal sudah setahun berlalu, tapi belum bicara’ appeared first on Kosmo Online.






