Pengawal keselamatan ditahan berkasar dengan ibu depan pejabat zakat

16 Jul 2026 • 12:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengawal keselamatan ditahan berkasar dengan ibu depan pejabat zakat
Tangkap layar dari video tular di media sosial berhubung kejadian.

SUNGAI PETANI - Seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung video tular membabitkan kekasaran terhadap wanita dipercayai ibunya di hadapan pejabat zakat di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

"Sebab video tu, kita perlu lebih telus dan siasat sama ada, ada tak saksi-saksi lain untuk bantu kita, berlaku atau tidak kekerasan... ataupun mungkin daripada sudut-sudut tertentu nampak macam berlaku kekerasan, tapi sebenarnya tidak. So, kita ke arah itu.

"Saya nak minta bantuan... Sekiranya ada saksi ataupun video-video lain yang boleh bantu pihak polis membuat siasatan daripada pelbagai sudut pandangan, minta tampil," katanya.

Beliau ditemui media ketika hadir ke Program Citra Warisan: Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) Bersama PDRM (Pemuliharaan Balai Polis Lama Sungai Petani Kedah) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Yang Dipertua MPSPK, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah.

Menerusi hantaran video tular dimuat naik pengguna media sosial, lelaki terbabit didakwa memegang sesuatu dipercayai objek tajam sebelum mengarahkan ibunya membonceng motosikal dengan segera.

Lelaki itu juga dilihat seakan-akan menarik tudung, menyebabkan wanita tersebut akur dengan arahannya.

Selain itu, apabila ditanya berhubung objek tajam yang dimaksudkan menerusi hantaran bersama di media sosial, Hanyan menjelaskan tiada sebarang rampasan dibuat setakat ini.

"Kita minta jangan ada spekulasilah, biar kita jalankan siasatan, sama ada ada senjata atau tidak digunakan dalam kes ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Zakat Daerah Kuala Muda, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin sebelum ini mengesahkan, kedua-dua beranak itu hadir ke pejabatnya bertujuan menghantar sebut harga bagi kerja-kerja membaiki rumah yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Menurutnya, wanita berusia 50-an itu dipercayai Orang Kurang Upaya (OKU) mental, tinggal bersama anak tunggal lelaki, menantu dan seorang cucu di Kampung Segantang Garam, Merbok.

"Zakat telah bersetuju untuk membaik pulih rumah mereka yang serba kekurangan dengan menyediakan dua bilik, ruang dapur dan tandas memandangkan sebelum ini tiada kemudahan berkenaan...jadi mereka hadir untuk hantar dokumen diperlukan," katanya.

Jelasnya, urusan mereka berdua berjalan lancar dan hanya menyedari kejadian setelah melihat video tular, bagaimanapun berharap ia sekadar salah faham selain berdoa agar perkara itu diselesaikan dengan baik serta kebijaksanaan polis mengendalikan.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved