Kes Bunuh Irene Sofiya: Cinta Ditolak Disyaki Motif Utama Pembunuhan

9 Oct 2026 • 1:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kes Bunuh Irene Sofiya: Cinta Ditolak Disyaki Motif Utama Pembunuhan

JOHOR BAHRU - Berang akibat cinta ditolak disyaki antara motif utama pembunuhan Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah di Batu Pahat. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan mendapati mangsa dipercayai diserang menggunakan sebatang besi sepanjang 96 sentimeter, dan bahagian kepalanya turut dipukul. 

Besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu lazimnya berfungsi sebagai penutup pintu kabinet dan siasatan turut mendapati, bahagian hujung besi ditemukan berbalut kain pengikat, dipercayai untuk dijadikan pemegang.

Mangsa juga mengalami kecederaan pada tangan dan badan, yang menunjukkan dia berkemungkinan cuba menangkis serangan ketika kejadian.

“Kami percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek berdasarkan kecederaan yang ditemukan pada tubuh mangsa.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati mangsa tidak dirogol oleh suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Selain besi berkenaan, polis turut menyita beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu, antaranya telefon bimbit, pakaian dengan kesan darah, kunci motosikal, buku Matematik Tambahan milik mangsa serta kertas latihan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengulas dakwaan bahawa mangsa mempunyai hubungan dengan rakan karib suspek, Ab Rahaman berkata perkara tersebut masih dalam penelitian polis.

Katanya, siasatan setakat ini menunjukkan suspek dipercayai melakukan perbuatan itu seorang diri, namun, polis masih menyiasat sama ada kejadian terbabit telah dirancang atau berlaku secara spontan.

Beliau turut mengesahkan suspek tidak mempunyai rekod salah laku disiplin di sekolah, manakala keperluan untuk menjalani penilaian psikiatri akan tertakluk kepada pertimbangan mahkamah.

Kertas siasatan diserahkan kepada pejabat pendakwaan negeri Johor hari ini bagi mendapatkan arahan berhubung tindakan lanjut, termasuk pertuduhan yang bersesuaian.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini membenarkan tempoh tahanan reman suspek dilanjutkan selama enam hari bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Suspek sebelum ini direman selama enam hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Getaran, 9 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved