Kes bunuh Irene Sofiya: Rakan sekelas didakwa pagi ini

15 Oct 2026 • 8:37 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kes bunuh Irene Sofiya: Rakan sekelas didakwa pagi ini

SHAH ALAM, 15 OKT: Kes pembunuhan Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada 3 Oktober lalu memasuki perkembangan baharu apabila rakan sekelas mangsa akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini.

Menurut sistem e-Kehakiman, pelajar lelaki Tingkatan Empat berusia 16 tahun itu akan menghadapi pertuduhan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno pada jam 9 pagi.

Suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, arahan pertuduhan dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Dalam kejadian itu, Irene Sofiya atau mesra dipanggil Fiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah kira-kira jam 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang merupakan anak perempuan tunggal dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan berakhir pada jam 5 petang.

Rakannya yang melihat motosikal mangsa masih berada di sekolah kemudian pergi ke rumah nenek Fiya sebelum pencarian dilakukan bersama ahli keluarga.

Pencarian itu berakhir apabila mangsa ditemukan terbaring di dalam dewan dengan kesan darah kering pada badan selain lebam dipercayai akibat dipukul.

Susulan kejadian, polis menahan pelajar lelaki yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan.

Suspek direman sejak 4 Oktober lalu dan tempoh remannya dijadual berakhir hari ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved