Kes Chegubard buat hantaran hasutan ditetapkan 15 hingga 17 Februari tahun depan

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 12:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes Chegubard buat hantaran hasutan ditetapkan 15 hingga 17 Februari tahun depan
Chegubard (kiri) dan Mohd Hanif ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 hingga 17 Februari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan penuh kes aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin yang didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan Institusi Diraja Negeri Sembilan di akaun Facebook miliknya, Mei lalu.

Hakim, Tasnim Abu Bakar menetapkan tarikh berkenaan selepas Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan selepas memaklumkan serahan dokumen telah dibuat.

Peguam, Mohd Hanif Hassan yang mewakili tertuduh mengesahkan pihaknya telah menerima satu set dokumen yang antaranya mengandungi rakaman percakapan tertuduh, gambar tempat kejadian dan akaun Facebook tertuduh.

Beliau turut menjelaskan pihaknya tiada bantahan terhadap tarikh perbicaraan yang ditetapkan, namun akan memasukkan representasi untuk perhatian dan pertimbangan pihak pendakwaan selepas meneliti dokumen yang diterima.

"Jika ada perkembangan terbaharu kepada kes ini, pihak kami akan menulis surat kepada mahkamah berkenaan perkembangan yang mungkin wujud dalam tempoh sebelum perbicaraan yang ditetapkan akan datang," katanya.

Pihak pendakwaan kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka bercadang memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 15 Januari sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan penuh pada 15 hingga 17 Februari, pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Pada 25 Jun lalu, Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan menghasut, antaranya: 'Berdasarkan undang-undang Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Nadzaruddin Ibni Almarhun Tuanku Ja'afar sah merupakan Yang di-Pertuan Besar Ke-12. Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah kini bekas Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan' di aplikasi Facebook menerusi akaun Chegu Bard.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan pada jam 8.30 malam di Jalan Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 26 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved