Kes Cikgu & Lelaki Wiring CCTV: Individu Yang ‘Londeh’ Chat Boleh Dikenakan Tindakan – Peguam

LocalPolitics
26 May 2025 • 12:13 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak minggu lalu, kecoh di media sosial mengenai kes seorang guru wanita didakwa mempunyai hubungan dengan seorang lelaki berstatus suami orang.

Perkara terbabit menjadi bualan hangat selepas tularnya beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp jijik di antara seorang individu dipercayai cikgu terbabit bersama lelaki yang juga pemilik perniagaan pemasangan CCTV dan wiring.

Malah, turut tersebar luas di internet video konfrontasi serta gambar-gambar wajah wanita terbabit seakan-akan ingin membuka aibnya.

Jangan ambil undang-undang di tangan sendiri – nasihat peguam

Susulan itu, seorang peguam dikenali sebagai Nor Zabetha telah tampil menyatakan guru terbabit boleh mengambil tindakan saman terhadap individu-individu yang menularkan mesej perbualannya kerana telah menjatuhkan reputasinya.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Nor Zabetha berkata, orang ramai tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri walaupun cikgu serta suami orang itu bersalah.

“Segala mesej kelucahan dimuat naik, video konfrontasi dengan cikgu di muat naik dan ditularkan semuanya difokuskan tentang cikgu ini. Sikit sangat fokus pada si suami.

“Apa yang telah dilondehkan oleh pasangan ini sewaktu mereka curang antara mereka dalam WhatsApp, sekarang dilondehkan di khalayak ramai untuk tontonan kita semua. Seperti didedahkan segala aib sehingga tiada seurat benang pun yang tinggal untuk tatapan kita semua,” katanya.

Golongan ‘kaki londeh’ boleh dikenakan tindakan

Berkongsi lanjut, Nor Zabetha berkata, individu-individu yang menyebarkan bukti-bukti perbualan terbabit serta video boleh diambil tindakan di bawah Akta MCMC dan juga tuntutan sivil.

“Sama ada bawah kesalahan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuatnaik kandungan yang jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menganiaya dan menyakitkan hati orang lain.

“Satu lagi tuntutan sivil bagi jatuh reputasi. Walaupun cikgu dan suami wanita ini salah, (ia) tidak memberikan lesen kita melakukan kesalahan lain. Sebab undang-undang ini ada salurannya,” kongsinya.

“Asasnya proses undang-undang tak membenarkan orang tembak anak kita dan kita tembak orang itu. Ini antara contoh mudah faham,” katanya lagi.

Sebarkan aib penyondol adakah tindakan yang betul?

Beliau turut bertanya kepada orang ramai dari segi undang-undang dan ‘court of public opinion’ adakah dengan cara menularkan isi kandungan mesej yang berbentuk kelucahan dan memuat naik video konfrontasi dirasakan satu tindakan yang betul.

“Selayaknya wanita ini diadili begini? Dia memang perlu dimalukan pada umum seperti ini kerana kesalahannya? Adakah memang kes-kes melibatkan aib keluarga ini, wajar disajikan kepada umum untuk menghukum pihak tertentu?

“Kalau tuan dan puan tak setuju. Apa tindakan yang sepatutnya? Minta tolong kongsi pandangan supaya mungkin saya boleh membuat survey atau tinjauan tentang pandangan masyarakat terhadap kes curang ini,” kongsinya.

Individu dakwa isteri lelaki CCTV mengaku tak muat naik hantaran perbualan WhatsApp

Dalam pada itu, turut tular satu komen yang kononnya ditulis oleh isteri kepada lelaki CCTV dan wiring yang meminta orang ramai agar memadam segala tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular.

Pun begitu, seorang pengguna Threads dipercayai isteri kepada lelaki tersebut tampil menafikan ada membuat ‘posting’ berkenaan.

Dia dalam masa sama turut menafikan terlibat dalam sebarang perbuatan memuat naik tangkap layar yang tular itu.

Menerusi satu hantaran balas, dia turut memaklumkan akan membuat tuntutan fasakh pada hari ini.