DUNGUN - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPVNT) mengesahkan siasatan kes penganiayaan seekor kucing oleh dua kanak-kanak di daerah ini pada 31 Mac lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Pengarah JPVNT, Dr Anun Man berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya dengan mengambil kira faktor usia pelaku yang masih di bawah umur.
Beliau menjelaskan, keputusan itu selaras dengan Seksyen 82 Kanun Keseksaan (Akta 574) berhubung kekebalan jenayah bagi kanak-kanak.
"Kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kes diklasifikasikan sebagai NFA kerana pelaku utama merupakan dua kanak-kanak berusia empat dan lapan tahun.
"Mengikut akta berkenaan, tidak menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada 10 tahun.
"Individu yang disiasat belum mencapai usia liabiliti jenayah, maka perbuatan tersebut tidak boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah prinsip doli incapax," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah memanggil ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa, datuk dan nenek pelaku, selain dua individu yang merakam video kejadian bagi membantu siasatan menyeluruh.
Jelasnya, meskipun tiada tindakan perundangan diambil, JPVNT telah mengambil langkah proaktif dengan memberi teguran keras kepada keluarga terbabit.
"Pihak kami telah memberi nasihat dan teguran kepada keluarga pelaku bagi memastikan insiden kekejaman terhadap haiwan seperti ini tidak berulang lagi pada masa hadapan," katanya.
Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 18 saat di media sosial yang mencetuskan kemarahan netizen memaparkan tindakan kejam dua kanak-kanak terhadap seekor kucing.
Dalam rakaman tersebut, salah seorang kanak-kanak dilihat menarik tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan, manakala seorang lagi bertindak menyepak dan memukul kepala kucing itu berkali-kali menggunakan selipar.


