KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu mengesahkan telah menerima lebih 500 laporan berhubung sebuah video tular di media sosial yang memaparkan tindakan kejam dan penganiayaan terhadap seekor kucing baru-baru ini.
Pengarahnya, Anun Man berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan perbuatan zalim terhadap haiwan selain merupakan satu bentuk pelanggaran undang-undang.
"Setakat Rabu, lebih 500 aduan diterima berhubung video tular tersebut. Tindakan segera telah diambil untuk menyiasat secara menyeluruh insiden yang dilaporkan ini.
"Perkara ini kini sedang dalam siasatan pihak jabatan di bawah peruntukan perundangan yang termaktub dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772]," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Tambahnya, JPV Terengganu bertekad untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus bagi mengesan serta mendakwa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, orang ramai serta pengguna media sosial dinasihatkan agar bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan rasmi.
Jelas beliau, perlindungan kebajikan haiwan merupakan tanggungjawab bersama dan JPV komited dalam memastikan keadilan dapat ditegakkan.
"Kerjasama orang ramai amat diperlukan sehingga siasatan selesai dijalankan sepenuhnya dan penemuan rasmi dapat diumumkan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat terus kepada pihak jabatan bagi membantu melancarkan siasatan," katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 18 saat di laman sosial yang memaparkan seekor kucing dianiaya oleh dua kanak-kanak sehingga mengundang kemarahan orang ramai.
Video berkenaan menunjukkan seorang kanak-kanak menarik tali yang diikat pada leher kucing manakala seorang lagi kanak-kanak dilihat menyepak dan memukul kepala kucing itu menggunakan selipar.


