
BATU PAHAT – Keluarga remaja lelaki yang didakwa membunuh Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan tidak wajar berhubung kes berkenaan di media sosial.
Peguam yang mewakili tertuduh, Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias berkata, tindakan itu dipertimbangkan bagi membendung penyebaran komen dan dakwaan yang tidak berasas ketika prosiding mahkamah masih berjalan.
Menurutnya, tertuduh baru sahaja didakwa di mahkamah dan belum dibuktikan bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan cerita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya berhubung kes berkenaan.
“Saya sampaikan hasrat pihak keluarga kepada orang ramai supaya kes ini tidak diberikan keterangan yang bukan-bukan dalam mana-mana platform media sosial.
“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu memahami prinsip undang-undang bahawa seseorang individu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
“Setakat hari ini, tiada apa-apa hukuman dijatuhkan mahkamah kerana prosiding masih berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas prosiding pertuduhan terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Mengulas lanjut, Mohd. Azlan berkata, pihaknya telah menasihati keluarga tertuduh supaya mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan tidak wajar berkaitan kes itu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada sebarang tindakan undang-undang diambil berhubung perkara berkenaan.
“Kami sudah mengesan beberapa komen di media sosial apabila ada individu mengaitkan kes ini dengan pelbagai cerita,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Kes Irene Sofiya: Jangan buat fitnah, keluarga tertuduh akan saman appeared first on Kosmo Online.






