SEPANG - Kementerian Pengangkutan (MOT) mengadakan mesyuarat khas bersama agensi berkaitan penerbangan bagi meneliti semula prosedur saringan keselamatan di lapangan terbang susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam cubaan penyeludupan dadah.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha MOT itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, AKPS, Malaysia Aviation Group (MAG), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta agensi berkaitan.
"Mesyuarat khas itu diadakan bagi meneliti kaedah memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) sedia ada serta meningkatkan penyelarasan antara semua agensi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan penerbangan serta melihat bagaimana kita boleh menambah baik prosedur sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau operasi saringan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Isnin.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Menurut Polis Republik Indonesia (POLRI), pemeriksaan menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta mengikut harga pasaran Indonesia.
Mohd Shuhaily berkata, pihaknya kini masih menunggu hasil siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan bagaimana suspek boleh melepasi proses pemeriksaan sebelum berlepas.
"Orang nak bawa barang-barang terlarang ini menggunakan pelbagai cara dan helah, berkemungkinan dia menyembunyikannya.
"Antara cara yang sering digunakan oleh penyeludup dadah adalah membaluti barang-barang tersebut yang menyebabkan mesin pengimbas tidak dapat mengesan barang salah yang dibawa," katanya.
Beliau berkata, AKPS memandang serius insiden itu kerana berpotensi menjejaskan integriti kawalan keselamatan sempadan negara selain menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan pelaksanaan prosedur saringan di KLIA.
"Perhatian turut diberikan terhadap dakwaan kemungkinan wujud kelemahan atau kelompangan dalam pelaksanaan proses saringan bagasi dan pemeriksaan keselamatan yang membolehkan bahan terlarang dibawa keluar dari negara.
"Perkara itu perlu disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti sama ada terdapat kelemahan prosedur, ketidakpatuhan terhadap SOP atau unsur lain yang menyumbang kepada insiden berkenaan," katanya.






