
SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan kes penyeludupan dadah membabitkan kru penerbangan dari Malaysia.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat khas pagi tadi bersama agensi berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, semakan awal mendapati suspek melalui semua proses saringan keselamatan sebelum menaiki pesawat dan berlepas ke Indonesia pada 28 Julai lalu.
Menurutnya, bagasi suspek juga tidak menunjukkan sebarang imej mencurigakan ketika melalui proses imbasan menggunakan mesin pengimbas keselamatan di KLIA.
“Suspek melalui semua proses saringan dan dalam pemeriksaan biasa menggunakan pengimbas, beg yang dibawa tidak memberi apa-apa imej mencurigakan. Justeru ia melepasi saringan yang dilaksanakan pihak keselamatan lapangan terbang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada PDRM berhubung modus operandi suspek menyembunyikan dadah jenis MDMA dan methamphetamine sehingga gagal dikesan ketika pemeriksaan awal.
“Soal bagaimana beliau (suspek) dapat melepasi saringan itu masih dalam penelitian. Kita menunggu maklum balas daripada PDRM.
“Modus operandi menyeludup dengan menyaluti atau menyembunyikan MDMA dan methamphetamine itu adalah sesuatu yang sedang kita tunggu daripada pihak PDRM,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Suspek juruterbang Malaysia disaring, tiada imej mencurigakan appeared first on Kosmo Digital.





