Kes ‘pilot’ ditahan di Indonesia: AKPS dakwa bagasi tiada imej mencurigakan di KLIA

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 6:34 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menegaskan semua prosedur saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan dalam kes membabitkan seorang juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia kerana didakwa cuba menyeludup dadah.

Bagasi tak tunjuk sesuatu mencurigakan di KLIA

Memetik laporan daripada Buletin TV3, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyatakan, bagasi individu berkenaan telah melalui pemeriksaan keselamatan wajib sebelum berlepas ke Indonesia pada 28 Julai lalu dan tidak menunjukkan sebarang imej mencurigakan ketika diimbas menggunakan mesin pengimbas.

“Dalam saringan yang dilakukan seperti mana biasa menggunakan mesin pengimbas, bagasi yang dibawa tidak memberi sebarang imej yang mencurigakan.
“Justeru, ia melepasi saringan biasa yang dilaksanakan oleh pihak keselamatan KLIA,” katanya pada sidang media.

Image from: Kes ‘pilot’ ditahan di Indonesia: AKPS dakwa bagasi tiada imej mencurigakan di KLIA

 

Menurut beliau, sistem saringan di KLIA menggabungkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penilaian pegawai keselamatan bagi menentukan tahap risiko sesuatu bagasi.

Oleh kerana bagasi tersebut tidak diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, ia dibenarkan melepasi pemeriksaan tanpa perlu menjalani pemeriksaan sekunder.

Sistem itu menggunakan AI pada tahap tertentu, namun ia tidak seperti yang digambarkan di televisyen. Ia masih memerlukan pertimbangan operator. AI hanya membantu proses, tetapi keputusan akhir terletak pada pegawai saringan,” katanya.

Image from: Kes ‘pilot’ ditahan di Indonesia: AKPS dakwa bagasi tiada imej mencurigakan di KLIA

Cara bungkus mungkin sebabkan bahan terlarang terlepas saringan

Mohd Shuhaily menyatakan, AKPS kini menunggu hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti bagaimana bahan terlarang itu boleh melepasi saringan keselamatan.

“Kita masih lagi menunggu maklum balas daripada PDRM untuk kita buat kajian bagaimana individu itu dapat melepasi saringan. Mungkin cara dia membungkus barang (dadah) berkenaan yang menyebabkan mesin pengimbas itu tidak dapat mengesannya.
“Modus operandi itu adalah sesuatu yang kami sedang tunggu untuk diketahui menerusi siasatan yang sedang dijalankan. Saya difahamkan pihak PDRM sudah dalam usaha menghantar pegawai untuk bekerjasama dengan pihak narkotik Indonesia,” katanya.

Image from: Kes ‘pilot’ ditahan di Indonesia: AKPS dakwa bagasi tiada imej mencurigakan di KLIA

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada bahan terlarang yang dirampas di Indonesia adalah bagasi sama yang melalui pemeriksaan di KLIA kerana perkara itu masih dalam siasatan PDRM.

Dalam masa sama, beliau mempertahankan kecekapan petugas saringan AKPS dan memberi jaminan bahawa sistem keselamatan sedia ada dilaksanakan sepenuhnya, selain akan ditambah baik sekiranya terdapat keperluan selepas siasatan selesai.

Terdahulu, media Indonesia melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta selepas pihak Kastam dan Cukai Indonesia menemui lebih 70,000 pil ekstasi serta sejumlah syabu dalam bagasi miliknya.

Sumber: Buletin TV3 (Syafiqah Damanhuri)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved