GEORGE TOWN – Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah dalam kes saman yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadapnya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan barisan peguamnya bagi menentukan tindakan lanjut berhubung kes berkenaan.
"Tadi saya dah berbincang dengan barisan peguam.
"Insya-ALLAH, dalam sehari dua hari ini, nanti kita akan beri keputusan mengenai sama ada kita nak 'appeal' atau pun tidak," katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan, Teresa Kok memenangi saman fitnah terhadap Muhamad Akmal apabila Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan pembayaran ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM250,000 kepada beliau.
Peguam Teresa, Datuk Sankara Nair dalam kenyataan berkata, Hakim Isa Aziz Ibrahim turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang Ketua Pemuda UMNO itu daripada membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap anak guamnya pada masa hadapan.
Sankara berkata, mahkamah turut memerintahkan supaya kenyataan yang dipertikai itu dipadamkan daripada semua platform media sosial.
Selain itu, Muhamad Akmal diperintahkan membayar kos mahkamah sebanyak RM50,000 kepada Teresa.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Akmal berkata, wang untuk membayar saman berkenaan sudah mencukupi selepas beliau menjual motosikal dan ikan tilapia miliknya pada harga keseluruhan RM180,000.
Menurutnya, hasil jualan kedua-dua aset itu, ditambah wang simpanan miliknya dan keluarga, mencukupi untuk melunaskan bayaran saman berkenaan.
“Alhamdulillah, duit simpanan sebelum ini tidak cukup. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk menjual aset yang saya ada.
“Aset yang boleh dijual hanya dua, iaitu motosikal dan ikan tilapia saya. Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan bantuan orang ramai, motosikal dan ikan tilapia saya berjaya dijual pada harga RM180,000,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menghentikan sumbangan ke akaunnya kerana wang yang diterima tidak lagi diperlukan untuk membayar saman berkenaan.
Katanya, jumlah sumbangan orang ramai yang sebelum ini dimaklumkan sebanyak RM173,000 meningkat kepada hampir RM185,000 berdasarkan semakan pagi Isnin.
“Saya minta tolong kepada orang ramai supaya tidak memasukkan lagi duit ke dalam akaun saya.
“Duit itu memang saya tidak guna untuk diri saya. Saya akan gunakan wang berkenaan untuk diberikan semula kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau menegaskan, wang sumbangan berkenaan akan disalurkan semula kepada golongan yang memerlukan memandangkan wang bagi membayar saman sudah mencukupi menerusi hasil jualan aset dan simpanan keluarga.






