
SHAH ALAM, 19 OKT: Polis menerima lima laporan membabitkan kerugian RM670,000 susulan kegiatan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai pengawal peribadi Raja Muda Selangor (RMS).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata laporan itu melibatkan empat mangsa yang diperdaya menerusi urusan penjualan tanah dan kereta mewah.
Menurutnya, tiga laporan diterima di Selangor dan dua lagi di Kuala Lumpur, termasuk laporan daripada pegawai khas istana pada 15 Oktober lalu.
"Kita juga menerima laporan daripada pegawai khas istana pada 15 Oktober lalu dengan tiga laporan di Selangor dan dua di Kuala Lumpur.
"Mangsa pertama mengalami kerugian RM30,000 diikuti mangsa kedua RM155,000, mangsa ketiga RM452,000, manakala seorang lagi mangsa mengalami kerugian RM33,000," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Rusdi memaklumkan siasatan masih diteruskan dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan berhubung kes berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu, Pejabat Sultan Selangor memaklumkan pihak istana memandang serius dakwaan seorang individu menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor bagi memperdayakan orang ramai.
Istana Selangor turut menyerahkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh secara adil dan telus.






