Kes Pelajar Ma*t Terjatuh Dalam Lubang Kumbahan, Polis Ambil Keterangan 9 Individu

Entertainment
29 Sep 2025 • 10:49 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pihak polis sudah mengambil keterangan daripada sembilan individu berhubung insiden seorang murid terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai, dua hari lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, memaklumkan bahawa antara mereka yang diambil keterangan ialah pengadu kes, guru serta beberapa pelajar sekolah berkenaan.

“Kita akan rakam empat keterangan lagi hari ini membabitkan pihak Jabatan Kerja Raya, Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa hasil semakan mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Pada Sabtu lalu, seorang murid Tahun Tiga, Abdul Fatah Khairol Rizal, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa kementerian akan mengambil tanggungjawab penuh dengan menjalankan siasatan terperinci terhadap tragedi tersebut.

Menurutnya, laporan lengkap hasil siasatan akan dikemukakan dalam masa terdekat bagi tindakan susulan serta memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

 

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.