“Saya rindu…” – Ibu Arwah Fattah Harap Tiada Lagi Pelajar Jatuh Ke Dalam Lubang Kumbahan

Entertainment
29 Sep 2025 • 4:47 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Ibu kepada murid yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam tangki septik di sebuah sekolah di Lenggeng kelmarin merayu agar pihak berwajib memperketatkan langkah keselamatan di kawasan tersebut.

Norfazila Md Lajin, 43, berkata dia berharap tragedi menimpa anaknya, Abdul Fattah Khairol Rizal, tidak berulang, khususnya memandangkan sekolah itu turut menempatkan murid berkeperluan khas.

image is not available

“Harapan saya supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) periksa semula dan tukar penutup lubang itu. Saya sendiri tak lihat atau sentuh penutup itu, namun saya dengar ia ringan dan boleh diangkat kanak-kanak.

Harap JKR dapat tukar kepada besi atau pagarkan kawasan supaya kanak-kanak tidak boleh masuk ke kawasan itu.

Di sekolah itu ada murid PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi). Perkara ini sudah jadi kepada anak saya, mudahan tidak berulang terhadap anak lain pula,” katanya.

Lebih menyedihkan, Norfazila berkongsi, dia sempat menyediakan sarapan terakhir untuk anak lelaki tunggal daripada empat beradik itu pada pagi hari kejadian, sebelum anak-anak ke sekolah untuk hari sukan.

“Saya sempat sediakan mi hailam dan susu untuk dia dan adik-beradik lain. Hari tu dia nampak selera makan. Kalau ikutkan, dia jenis susah nak makan.

Saya rindu, semalam ada ibu kepada rakan sekelas Fattah tunjukkan gambar anaknya dengan Fattah. Arwah tersenyum dalam gambar itu,” katanya sebak.

Sabtu lalu, Fattah yang juga murid tahun tiga meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan kira-kira jam 10 pagi.

 

Sumber:

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.