Kemalangan Maut Akibat Pemandu Mabuk Perlu Hukuman Mati - Wan Fayhsal

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 4:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kemalangan maut akibat pemandu mabuk atau positif dadah bukan lagi sekadar nahas, tetapi satu kecuaian melampau yang perlu dihukum sebagai kesalahan jenayah.

Menegaskan perkara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, hukuman sedia ada ternyata masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi. 

Menurut beliau, insiden seumpama itu terus berulang, membuktikan bahawa pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan.

“Blok pembangkang memandang serius insiden tragis yang berlaku di Klang semalam yang sekali lagi meragut nyawa tidak berdosa akibat perbuatan pemandu di bawah pengaruh alkohol. 

“Kami mendesak kerajaan agar mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian,” katanya.

image is not available
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal - Gambar fail

Hukuman berkenaan tegas beliau, bukan untuk bertindak semata-mata, tetapi sebagai satu mesej jelas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan, dan sebarang tindakan yang membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat.

“Apabila seseorang berada di bawah pengaruh alkohol tetapi tetap memilih untuk memandu, undang-undang sewajarnya menganggap bahawa dia mempunyai niat untuk membunuh, kerana tindakannya itu secara nyata berisiko tinggi meragut nyawa orang lain.

“Kerajaan perlu segera meminda undang-undang sedia ada, termasuk memperketatkan penguatkuasaan serta memperluaskan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Nyawa yang hilang jelas Wan Ahmad Fayhsal lagi, tidak dapat diganti, justeru sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil.

“Ini semua demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya. - Getaran, 30 Mac 2026