
TEMERLOH – Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang wanita yang tular melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah taska di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, siasatan dibuka selepas satu laporan polis diterima daripada seorang wanita berusia 29 tahun yang merupakan ibu kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang menjadi mangsa dalam kejadian itu petang semalam.
“Pengadu mengatakan mangsa telah menerima layanan yang kasar oleh pengasuh berkenaan yang berlaku di sebuah taska di Mentakab di sini.
“Siasatan sedang giat dilakukan sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial rakaman video berdurasi 22 saat, menyaksikan seorang wanita memarahi dan menyentuh seorang kanak-kanak yang sedang menangis.
Kejadian tutut disaksikan dua lagi wanita yang difahamkan menjaga dua lagi kanak-kanak di taska berkenaan.
Menurut Mohd Nasyim, kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. – KOSMO! ONLINE
The post Kes pengasuh taska marah, kasari kanak-kanak disiasat appeared first on Kosmo Digital.






