KUANTAN - Seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan yang disyaki dikasari di sebuah taska di kawasan Bukit Setongkol di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, wanita berusia 31 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang diterima kira-kira jam 10.34 pagi Ahad.
Menurutnya, laporan berkenaan dibuat susulan penularan video kejadian terbabt di media sosial.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Ogos lalu.
“Berdasarkan rakaman video tular berkenaan, mangsa dimarahi, ditarik rambut dan digoncang kepalanya oleh seorang wanita dipercayai pengasuh di taska terbabit,” katanya.
Ashari berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Setakat ini, tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan terhadap mangsa. Bagaimanapun, pemeriksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa memandangkan kes ini melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Ashari berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.






