
MARAN – Polis masih menunggu laporan makmal hasil daripada bedah siasat yang dilakukan terhadap seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meninggal dunia ketika menyertai kejohanan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 bagi melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh semalam masih dalam status ‘pending laboratory investigation’.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang mana sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak disahkan yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan kekeliruan kepada keluarga mangsa dan masyarakat,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati Program KKEC 2026 yang berlangsung dari 2 September hingga 8 September melibatkan 521 peserta yang akan terlibat dalam acara larian sejauh lapan kilometer, berbasikan sejauh 20 kilometer dan Mara Lasak sejauh 10 kilometer.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 9.57 malam kelmarin seramai sembilan peserta terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan yang menyertai acara Mara Lasak telah mengalami sesak nafas dan mendapat rawatan di Hospital Jengka.
Beliau memberitahu, salah seorang daripada sembilan mangsa yang berumur 21 tahun berada dalam keadaan tenat disebabkan oleh penurunan oksigen dan telah dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Semasa mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hoshas Temerloh semalam pelajar ini disahkan meninggal dunia pada pukul 2 petang.
“Siasatan yang dijalankan terdapat dua lagi pelajar yang dirujuk ke Hoshas dan dimasukkan ke ICU kerana penurunan oksigen dan sehingga kini berada dalam keadaan stabil manakala enam lagi pelajar yang mendapat rawatan di Hospital Jengka juga dalam keadaan stabil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post KKEC UiTM: Polis masih tunggu laporan bedah siasat pelajar maut appeared first on Kosmo Digital.






