Kes Rakyat Malaysia Maut Ditikam Di Korea Selatan: Abang Dipercayai Cuba Lerai Pergaduhan Libatkan Rakan – Adik Mangsa

27 Jul 2026 • 11:07 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Kes Rakyat Malaysia Maut Ditikam Di Korea Selatan: Abang Dipercayai Cuba Lerai Pergaduhan Libatkan Rakan – Adik Mangsa

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini media di Korea Selatan melaporkan seorang lelaki, Ahmad Shah, 26, yang merupakan rakyat Malaysia maut selepas berlaku pergaduhan berkumpulan melibatkan warga asing di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara pada 26 Julai lalu.

Ekoran daripada insiden itu, pihak polis Eumseong kemudiannya telah bertindak menahan seorang lelaki yang merupakan rakyat Malaysia. Lelaki berusia 40-an itu disyaki terlibat dalam kes bunuh dan beberapa kesalahan lain.

Adik harap jenazah abang dapat dibawa ke tanah air untuk dikebumikan

Terbaharu adik kepada mangsa yang ditikam, Ain Sephia, 25, memaklumkan mereka sekeluarga terkejut dengan berita yang menimpa abangnya serta berharap agar jenazah abangnya dapat dibawa pulang ke Malaysia untuk dikebumikan di sini.

“Kami sekeluarga masih terkejut dengan berita yang menimpa abang, saya rasa macam tak percaya apa yang berlaku tetapi kami reda.

“Kami berharap jenazah abang dapat dibawa pulang ke tanah air untuk dikebumikan di sini,” jelasnya.

Kata Ain, dia mengetahui berita yang menimpa abangnya itu sekitar jam 2.40 pagi (26 Julai) selepas menghubungi kakak iparnya yang juga isteri mangsa iaitu Nurcahaya Ruslan.

Dia kemudian dimaklumkan abanganya sudah meninggal dunia sewaktu mereka berada di hospital.

Mangsa lalui proses bedah siasat, isteri juga dah beri keterangan di balai polis

“Pada mulanya kakak ipar hubungi saya pada 1.40 pagi tetapi saya tak perasan dan selepas itu mak pula hubungi beritahu abang kena tikam.

“Saya kemudian terus telefon kakak ipar sebelum dia beritahu abang sudah tiada dan ketika itu mereka sudah berada di hospital

“Saya dimaklumkan abang sudah menjalani proses bedah siasat dan isterinya juga sudah memberi keterangan di balai polis tengah hari tadi.

“Saya difahamkan semua suspek terbabit dalam kejadian itu sudah ditahan,” ujarnya, lapor Berita Harian.

Kakak ipar turut berada di tempat kejadian, abang dipercayai mahu bantu leraikan pergaduhan

Menurut Ain abang sulungnya itu berada di Korea Selatan sejak tujuh tahun lalu malah menetap di sana bersama isteri selain bekerja di sebuah kilang.

Katanya sewaktu insiden melibatkan abangnya itu, kakak ipar juga berada di tempat kejadian.

Ain turut dimaklumkan abangnya telah dihubungi oleh seorang rakan yang meminta pertolongan selepas berlaku pergaduhan dan dia mahu membantu untuk meleraikan pergaduhan berkenaan.

Katnya lagi, Ahmad Shah menerima panggilan daripada rakannya itu sewaktu sedang tidur.

Rakan hubungi bagitahu ada pergaduhan dan minta bantuan

“Ketika itu abang sedang tidur sebelum dihubungi rakannya yang beritahu ada pergaduhan dan minta bantuan.

“Abang pergi dan kakak ipar juga tergerak hati mahu ikut sekali.

“Tak sangka rupanya ada sekumpulan lelaki dan rakan abang seorang saja ketika itu.”

Harap dapat bawa pulang kerana kos pengebumian mahal

Menurut Ain lagi, mereka sekeluarga khususnya ibu bapanya berharap agar jenazah abang sulungnya itu dapat dibawa pulang serta disemadikan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Perkara itu disebabkan kos bagi pengebumian di Korea Selatan jauh lebih mahal dan ia termasuk kos sewa tanah.

Anggaran kos untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia pula adalah sekitar RM50,000-RM60,000.

Kos hospital sebanyak RM18,000 dah dibayar, adik turut sifatkan abang seorang yang baik dan suka membantu

“Pada mulanya memang mahu kebumikan abang di sana tetapi sebab kos terlalu tinggi kami sepakat bawa jenazah pulang.

“Anggaran kos bawa pulang jenazah antara RM50,000 hingga RM60,000 dan itu belum termasuk kos lain.

“Kos hospital sebanyak RM18,000 sudah dibayar oleh kakak ipar dan sumbangan rakan mereka di sana.

“Abang anak yang sangat baik dan suka membantu orang.

“Ketika dia sakit sebelum ini ramai yang ziarah dia namun saya tak sangka kejadian ini berlaku kepadanya,” ujarnya lagi.

Abang sulung sepatutnya akan pulang ke Malaysia Disember ini

Ain Sephia turut memaklumkan kali terakhir abang sulungnya itu pulang ke tanah air adalah pada 2023.

Meskipun jarang dapat pulang namun abang sering menghubung ibu selain dijangka akan pulang pada Disember tahun ini disebabkan mereka mahu sekeluarga mahu menunaikan umrah pada Januari 2027.

Terdahulu, individu yang ditahan didakwa menikam Ahmad Shah menggunakan pisau dalam insiden yang berlaku di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong pada jam sekitar 3 pagi pada 26 Julai lalu.

Memetik laporan Harian Metro, ketika insiden berlaku kumpulan suspek serta kumpulan mangsa dipercayai terlibat dalam pergaduhan besar di tempat kejadian.

10 individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan yang berlaku

Sekitar 10 individu dipercayai telah terlibat dalam pergaduhan berkenaan. Sewaktu pergaduhan, suspek yang ditahan didakwa mengeluarkan pisau sebelum bertindak menyerang mangsa.

Selain mangsa yang maut, terdapat seorang lagi individu yang dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Suspek yang didakwa menikam mangsa kemudiannya melarikan diri ke sebuah rumah berdekatan, namun dia telah ditahan polis sekitar sejam selepas itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved