
PUTRAJAYA: Kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak akan kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keterangan tambahan daripada saksi pendakwaan ke-16 (PW16), Rayyan Radzwill Abdullah.
Perkembangan itu susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendapati permohonan Rosmah untuk memasukkan bukti baharu berkaitan keterangan Rayyan adalah bermerit.
Panel diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli yang bersidang bersama Datuk Choo Kah Sing dan K. Muniandy turut memerintahkan pendengaran keterangan tambahan itu dibuat di Mahkamah Tinggi yang baharu.
Dengan keputusan tersebut, rayuan Rosmah terhadap hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas kesalahan rasuah itu ditangguhkan ke 14 Oktober ini.
Panel mengarahkan keterangan tambahan berhubung laporan polis, akuan bersumpah (SD) dan afidavit sokongan yang dikemukakan Rayyan direkodkan dua minggu selepas tarikh pengurusan kes pada 10 September ini.
Pendengaran itu juga perlu dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi yang baharu, menggantikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang sebelum ini mendengar kes tersebut dan kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan.
Ketika membacakan penghakiman ringkas, Datuk Choo berkata, Mahkamah Rayuan pada peringkat ini tidak menentukan sama ada keterangan tambahan Rayyan itu benar atau sebaliknya.
Sebaliknya katanya, mahkamah hanya menentukan sama ada keterangan berkenaan relevan dan mempunyai tahap kebolehpercayaan yang mencukupi untuk dipertimbangkan.
“Satu akuan berkanun yang dibuat di bawah sumpah dan disokong oleh dokumen-dokumen sewajarnya diuji melalui pemeriksaan balas.
“Mahkamah mengambil perhatian bahawa PW16 mendedahkan dirinya kepada liabiliti jenayah sekiranya memberikan keterangan palsu di bawah sumpah,” katanya.
Isu kesan keterangan tambahan itu terhadap kes juga perlu diberi perhatian memandangkan hakim bicara sebelum ini bergantung kepada keterangan Rayyan dalam membuat keputusan.
Sekiranya keterangan baharu itu diterima, ia secara munasabah berpotensi menimbulkan keraguan terhadap kesalahan yang diputuskan ke atas Rosmah.
“Keterangan baharu itu secara langsung menyentuh elemen dalam pertuduhan iaitu sama ada perayu secara aktif meminta atau menerima suapan.
“Penarikan balik atau percanggahan terhadap fakta-fakta tersebut dilihat boleh menjejaskan asas keterangan utama yang menjadi sandaran kepada sabitan dan boleh mengubah arah dapatan fakta yang dibuat oleh hakim bicara,” katanya.
Bagaimanapun katanya, semua pemerhatian tersebut tertakluk kepada hasil keterangan tambahan yang akan direkodkan serta hujahan pihak-pihak terbabit di hadapan Mahkamah Tinggi kelak.
Katanya, dakwaan seorang saksi bahawa keterangannya terjejas akibat tekanan daripada pihak pendakwaan turut menyentuh integriti proses pencarian fakta.
Sehubungan itu, menolak permohonan Rosmah untuk mengemukakan keterangan tambahan berkenaan berisiko menyebabkan kegagalan keadilan.
Sementara itu, peguam Rosmah, Datuk Amer Hamzah Arshad ketika ditemui selepas prosiding berkata, hakim baharu yang mendengar keterangan tambahan Rayyan akan menentukan sama ada keterangan tersebut benar atau sebaliknya dengan kedua-dua pihak berpeluang menyoal dan memeriksa balas saksi sebelum hakim membuat dapatan terhadap keterangan tambahan tersebut.
“Hakim Mahkamah Tinggi kemudian akan membuat dapatan sama ada keterangan baharu itu benar atau sebaliknya,” katanya.
Amer Hamzah turut mendakwa wujud isu lain berkaitan kes berkenaan, termasuk dakwaan ugutan dan ancaman terhadap saksi. – UTUSAN
The post Kes rasuah solar Rosmah kembali ke Mahkamah Tinggi appeared first on Utusan Malaysia.





