
KOTA BHARU: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan mengakui masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah di negeri ini masih serius, namun statistik kes mula mencatatkan penurunan tahun ini.
Pengerusinya, Zamakhshari Muhamad berkata, masalah dadah bukan sahaja membelenggu Kelantan atau Malaysia, malah merupakan isu global yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi mencari penyelesaian secara menyeluruh.
“Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyebut hampir tiada kampung di Kelantan terlepas daripada masalah dadah, apabila kita melihat statistik, memang sudah berlaku penurunan pada tahun ini.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat berkongsi jumlah yang lebih tepat buat masa ini. Tetapi dari segi penyalahgunaan dadah dan tangkapan, statistik di seluruh negara dan secara spesifiknya di Kelantan telah berkurang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat dan Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Kelantan ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor dan Para SUKMA Selangor 2026 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, di sini hari ini.
Zamakhshari memberitahu, perbincangan mengenai tahap keseriusan penyalahgunaan dadah perlu berpandukan fakta dan bidang kuasa penguatkuasaan, bukannya dipengaruhi sentimen politik.
Katanya, penguatkuasaan undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sekali gus berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
“Dadah bukan isu politik dan tidak dapat disangkal bahawa kerana sentimen politik, Kelantan sering ditonjolkan dalam isu dadah berbanding negeri-negeri lain,” katanya.
Pada 30 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memahami gesaan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusof Mamat supaya tindakan lebih menyeluruh dilaksanakan memandangkan hampir tiada kampung di negeri itu terlepas daripada ancaman dadah.
Menurut beliau, jajahan seperti Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Rantau Panjang merekodkan kadar penyalahgunaan dadah yang serius. – UTUSAN
The post Statistik turun, penyalagunaan dadah masih serius – Pemadam Kelantan appeared first on Utusan Malaysia.





