CHUKAI - Polis menahan dua lagi lelaki pelarian Myanmar bagi membantu siasatan kes seksual melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di sini awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Mohd Rosli berkata, kedua-duanya yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan ditahan di Kampung Besut di sini pada jam 3 pagi.
Beliau berkata, mereka kini direman tujuh hari hingga 16 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
"Setakat ini, tidak ada suspek baharu yang diburu berhubung siasatan kes berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Bernama melaporkan tiga lelaki pelarian Myanmar berusia 19 hingga 28 tahun ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan kes seksual melibatkan seorang wanita OKU intelektual berusia 23 tahun. - Bernama






