
Lelaki lingkungan 30-an yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Chow Kit dipercayai terlibat dalam sembilan kes samun sejak Mei lepas.
KUALA LUMPUR: Lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Chow Kit, di sini awal pagi semalam dipercayai aktif melakukan jenayah samun dari awal Mei lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata suspek juga dikaitkan dengan sembilan kes berdasarkan pengecaman oleh mangsa yang seterusnya membantu siasatan polis.
Beliau berkata polis kini meneruskan siasatan bagi mengesan individu dipercayai berkaitan dengan kegiatan jenayah suspek.
“Kita percaya suspek turut menggunakan kenderaan lain untuk melakukan jenayah samun namun siasatan terperinci masih dilakukan,” katanya.
Fadil berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur di Pondok Polis Alam Damai di sini hari ini.
Beliau berkata suspek dipercayai menyasarkan golongan wanita dan warga emas dalam kegiatan samun itu.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu juga dipercayai menggunakan sebuah teksi dilarikan di Gombak pada Oktober lepas untuk menyamun penumpang wanita warga asing dan lelaki warga emas.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi semalam, suspek maut selepas berbalas tembakan dalam serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bukit Aman di kediaman rumah kedai di Chow Kit.
Polis turut merampas sepucuk senjata api dan dadah disyaki syabu dari bilik itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.






