Suspek Ditembak Di Chow Kit Terbabit 9 Kes Samun Sejak Mei

19 Nov 2026 • 7:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Suspek Ditembak Di Chow Kit Terbabit 9 Kes Samun Sejak Mei

KUALA LUMPUR - Lelaki yang maut ditembak polis di Chow Kit semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan sembilan kes samun sejak awal Mei lalu.

Polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai hubungan dengan suspek dan terlibat dalam kegiatan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penglibatan suspek dalam semua kes berkenaan dikenal pasti selepas dia dicam beberapa mangsa.

Menurut beliau, pihaknya turut menyiasat kemungkinan suspek menggunakan kenderaan lain bagi melaksanakan kegiatan jenayah itu, selain sedang mengesan individu yang turut bersubahat.

“Kita percaya suspek turut menggunakan kenderaan lain untuk melakukan samun, namun siasatan terperinci masih dijalankan.

“Polis Kuala Lumpur yakin rangkaian ini dapat dibongkar dan individu yang bersubahat dengan suspek utama dapat dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Pondok Polis Alam Damai, hari ini.

Fadil berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu dipercayai menyasarkan golongan wanita dan warga emas sebagai mangsa.

Lelaki berkenaan turut disyaki menggunakan sebuah teksi yang dicuri di Gombak pada Oktober lalu untuk melakukan samun terhadap seorang wanita warga asing dan seorang lelaki warga emas.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dengan kerjasama Bukit Aman menyerbu sebuah bilik di rumah kedai di Chow Kit.

Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis ketika serbuan dilakukan, menyebabkan anggota bertugas terpaksa membalas tembakan sebelum suspek maut di lokasi kejadian.

Pemeriksaan di bilik berkenaan membawa kepada penemuan sepucuk senjata api serta bahan disyaki dadah jenis syabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan samun serta samun dengan cubaan menyebabkan kematian atau mendatangkan kecederaan parah. - Getaran, 19 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved