
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (19 April), media melaporkan tiga individu maut akibat ditembak di sebuah restoran yang terletak di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, kesemua mangsa berusia dalam linkungan 37 hingga 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat ditembak dipercayai menggunakan senjata api jenis shotgun.
Ekoran itu, polis telah menahan seorang lelaki tempatan yang berusia 71 tahun pada jam 2 petang dan berada sekitar 200 meter dari lokasi kejadian.
Malah, polis turut merampas senjata api jenis shotgun buatan Benelli M/Super dengan nombor siri M104817 yang dipercayai digunakan dalam insiden terbabit.
Hasil semakan polis mendapati suspek yang juga seorang warga emas tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah.
Polis juga tidak menolak kemungkinan kes tembak berkenaan berpunca akibat hutang peribadi.
Warga Emas Direman Selama 7 Hari
Terbaharu, suspek yang merupakan seorang pekebun direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad (26 April) depan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar selepas membenarkan permohonan yang dibuat oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Asisten Superintendan Nor Azizi Indzam.
Tempoh reman itu bagi membolehkan pihak polis membuat siasatan lanjut terhadap warga emas berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek sebelum itu tiba di Mahkamah Kota Tinggi pada jam 9 pagi tadi dengan tangan bergari serta diiringi anggota dari IPD Kota Tinggi.
Saksi Dakwa Nampak Berlaku Perang Mulut Sebelum Berlaku Tembakan
Sebelum ini, seorang saksi mendakwa berlaku perang mulut di antara beberapa individu sebelum suspek melepaskan tembakan.
Saksi yang dikenali sebagai Abdul mendakwa dia yang berada hanya kira-kira 50 meter dari restoran terbabit terlihat suspek beredar ke kenderaannya sebelum kembali ke lokasi kejadian.
“Selepas itu, kami dengar beberapa das bunyi letupan yang kuat. Mula-mula ingatkan mercun, tetapi rupa-rupanya tembakan. Ketika itu memang semua panik dan kami terus tutup kedai,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Suspek Tidak Ada Masalah Dengan Penduduk Setempat
Seorang lagi saksi lain yang dikenali sebagai Hamzah mendakwa, dia menyedari kehadiran suspek berlegar-legar di kawasan sekitar sebelum kejadian berkenaan.
Namun jelas Hamzah yang merupakan seorang peniaga, suspek yang dikenalinya sebagai peniaga sayur dan seorang pekebun tidak mempunyai masalah dengan penduduk setempat.
Suspek Sempat Minum Selepas Tembak 3 Individu – Saksi
Memetik Kosmo, seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa suspek sempat pergi minum di kedai belakang selepas menembak tiga individu yang terdiri daripada dua lelaki tempatan serta seorang wanita warga Vietnam.
“Dia (suspek) pergi kedai di belakang dan minum. Dia cakap dia sudah tembak orang. Ketika itu tangannya berdarah,” katanya.
𝟯 𝗺𝗮𝘂𝘁: 𝗦𝘂𝘀𝗽𝗲𝗸 𝘁𝗲𝗺𝗯𝗮𝗸 𝗺𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮 𝘀𝗲𝗯𝗮𝗯 𝗵𝘂𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗥𝗠𝟱𝟬,𝟬𝟬𝟬Oleh MASTURAH SURADI19 April 2026, 9:24 pmKOTA TINGGI – Suspek…
Posted by Community Roda Johor – CRJ on Sunday 19 April 2026
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembak Sungai Golok: Hutang Perniagaan Disyaki Punca Rakyat Malaysia Ditembak – Polis Thailand
Baca Artikel Berkaitan: Suspek Kes Tembakan Di Setia Alam Maut Ditembak Polis Di Klang






