
SHAH ALAM – Remaja lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu dipercayai mempunyai penyakit mental sejak lima tahun lalu.
Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh juvana itu berkata, perkara itu dimaklumkan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony ketika hadir memberi keterangan selaku saksi pembelaan kedua dalam kes berkenaan.
Dalam prosiding secara tertutup itu, saksi pembelaan kedua itu memberitahu tertuduh juvana tersebut mengalami masalah psikiatri sejak Covid-19.
Katanya, keadaan menjadi semakin serius kerana tertuduh juvana itu tidak mendapat rawatan awal di hospital.
“Saksi memberitahu bahawa penama bukan mengalami satu ilusi sahaja, tetapi pelbagai gangguan. Tempoh lima tahun tanpa rawatan menyebabkan masalah berkenaan berkembang beberapa kali ganda, selain memberi kesan lebih besar terhadap minda penama terbabit,” katanya.
Ditanya bagaimana saksi itu mengesahkan tertuduh juvana tersebut mempunyai simptom-simptom sakit mental, peguam itu menjelaskan ia bermula apabila anak guamnya tidak pernah menanggalkan pelitup muka hingga hari kejadian.
“Tertuduh dikenali rakan-rakan di sekolah itu sebagai ‘the Boy who wear the face mask’ (budak yang ‘memakai topeng muka) sejak dari Covid-19. Beberapa daripada mereka tidak pernah melihatnya, sehinggalah hari insiden (kejadian bunuh) tersebut. Jadi itulah betapa peliknya.
Beliau berkata, saksi itu turut bersetuju bahawa, sebelum ini tertuduh mula dirujuk untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan psikiatri.
Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid bersambung lagi pada 26 Ogos dengan saksi itu akan disoal semula oleh pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (ketika kejadian) didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.
Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, atau selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di sesebuah negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja lelaki bunuh pelajar sekolah di Bandar Utama sakit mental – Peguam appeared first on Kosmo Digital.






