
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Oktober 2025 nyata mendapat perhatian ramai.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.10 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan pelajar lelaki berkenaan juga turut ditahan.
Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 September lalu kemudiannya membebaskan remaja lelaki berkenaan dari pertuduhan membunuh atas alasan tidak waras ketika kejadian dan diperintah untuk menjalani rawatan.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tikam Pelajar Di Bandar Utama: Remaja Lelaki 15 Tahun Bebas Tuduhan Bunuh Atas Alasan Tidak Waras
Tertuduh Mengaku Suka Mangsa Sebelum Tikam
Terbaharu, remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa menikam rakannya itu melakukan perbuatan tersebut selepas membuat pengakuan yang dia menyukai mangsa.
Menurut Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abdul Majid dalam alasan penghakimannya, si pelaku telah melihat mangsa menuju ke tandas perempuan di tingkat bawah lalu mengikutinya sehingga ke dalam tandas berkenaan.
Remaja lelaki itu kemudiannya mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum membawanya masuk ke kubikel kedua dalam tandas terbabit.
“Sebaik berada di dalam kubikel, remaja itu mengunci pintu lalu bertanya kepada mangsa adakah dia (nama mangsa) dan memberitahu bahawa dirinya menyukai mangsa.
“Mangsa cuba melawan dan mahu keluar dari kubikel, namun remaja itu menolaknya semula ke dalam dan mula menikamnya.
“Laporan bedah siasat bertarikh 22 Disember 2025 yang disediakan oleh pakar perubatan Jabatan Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Koo Zhao Peng merekodkan jumlah luka tikaman dan hiris yang sangat banyak iaitu di antara 180 hingga 200 luka secara keseluruhan pada pelbagai bahagian tubuh mangsa,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Mangsa Disahkan Meninggal Dunia Dalam Kubikel Tandas
Jelas Adlin dalam alasan penghakiman itu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat pelbagai luka tikaman pada bahagian leher dan dada.
“Kecederaan yang menyebabkan kematian mangsa ditikam oleh remaja terbabit menggunakan sebilah pisau berukuran kira-kira 30 sentimeter (cm) yang terukir perkataan ‘Leatherneck SF’ pada matanya,” jelasnya.
Tertuduh Jadikan Penjenayah Kejam Sebagai Idola, Tulis Nama Mangsa Dalam Death Note
Malah, tertuduh turut taasub dan menjadikan penjenayah kejam luar negara sebagai idolanya.
Dia didapati mula berminat terhadap penembak sekolah dan pembunuh bersiri termasuk dua pelaku dalam kejadian tembakan yang berlaku di Sekolah Tinggi Columbine, Amerika Syarikat pada tahun 1999.
Remaja Lelaki Terdorong Untuk Mendapatkan Pengiktirafan
Jelas Adlin dalam alasan penghakimannya, remaja terbabit telah mengenal pasti dirinya sebagai individu berkenaan dek kerana merasakan mereka pernah dibuli, terasing serta mempunyai keinginan untuk mendapat pengiktirafan.
“Dia seterusnya membaca secara mendalam mengenai pesalah lain yang serupa dan merujuk mereka sebagai idola atau contoh teladan, selain menulis nama mereka dalam Buku Nota Death Note,” katanya.
Kaitkan Diri Dengan Watak Light Yagami Atau Kira Dalam Animasi Death Note, Percaya Diri Adalah Tuhan
Tambah Adlin, tertuduh juga mula mengalami halusinasi pendengaran sejak Mac 2025 dalam bentuk suara yang mempunyai kaitan dengan salah seorang pelaku insiden Columbine.
Ia berdasarkan laporan yang dikemukakan kepada mahkamah yang menyifatkan situasi itu sebagai halusinasi pendengaran arahan.
Malah, remaja berkenaan turut mengaitkan dirinya dengan watak Light Yagami atau Kira dalam animasi Jepun berjudul, Death Note.
“Remaja berkenaan mula percaya bahawa beliau sendiri telah menjadi figura seperti tuhan yang berhak untuk menghapuskan mereka yang dianggapnya tidak layak,” katanya.
Tambah Adlin, keadaan tersebut dirujuk dalam laporan sebagai delusi kebesaran diri.
Tertuduh turut membeli sebuah buku nota Death Note dan menulis nama empat rakan sekolahnya termasuk pelajar perempuan yang menjadi mangsa.
Keluarga Sebelah Bapa Tertuduh Ada Sejarah Sakit Mental
Jelas Adlin dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan tertuduh, si pelaku juga mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit mental.
Oleh kerana itu, remaja lelaki berkenaaan mempunyai kecenderungan genetik yang kuat terhadap penyakit mental yang dialami keluarga sebelah bapanya.
Tambah Adlin, ibu saudara sebelah bapa tertuduh pernah mengalami gangguan mental dan dimasukkan ke institusi rawatan psikiatri setahun sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1983.
Malah, anak lelaki wanita terbabit turut mengalami penyakit yang sama.
“Kakak remaja itu sedang menerima rawatan daripada pakar psikiatri untuk kemurungan,” katanya.
Remaja Lelaki Terdedah Kepada Internet Di Usia Muda, Habiskan 10 Jam Sehari Baca Komik Manga & Tonton Siri Anime
Hakim juga turut mendapati tertuduh telah terdedah dengan internet pada usia muda dengan mula bermain permainan video sejak usia tujuh tahun.
Jelas Adlin, remaja berkenaan mula bermain bersama abang dan rakan sekolah sebelum bersendirian 10 jam sehari sehingga melepasi tengah malam.
Berdasarkan alasan penghakiman, permainan video terbabit mengandungi unsur keganasan, penyeksaan, bahasa kesat dan kandungan seksual selain turut mendedahkan tertuduh dengan risiko tingkah laku dalam talian yang toksik.
Selain permainan video, remaja lelaki itu turut mengahbiskan masa dengan membaca komik manga serta menonton anime sehingga 10 jam sehari tanpa henti.
Kandungan yang ditonton pula bertemakan genre penceritaan gelap antaranya seperti keganasan, pembunuhan, seks, buli, menghendap dan bunuh diri.
Baca Artikel Berkaitan: “Dunia Ini Palsu, Saya Sudah Menang” – Nota Terakhir Suspek Tikam Pelajar Perempuan Tingkatan 4
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Perempuan Tingkatan 4 Maut Ditikam Pelajar Lelaki Tingkatan 2 Di Sekolah Di Bandar Utama
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pelajar Maut Ditikam: Ibu Mangsa Dedah 200 Kesan Tikaman Ditemui Pada Tubuh Anak





