Kes tikam pelajar: Orang ramai berhak tahu kejadian – Hakim

22 Oct 2026 • 7:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kes tikam pelajar: Orang ramai berhak tahu kejadian – Hakim

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan supaya keseluruhan prosiding saman sivil berhubung kes pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah di Petaling Jaya tahun lalu dijalankan secara tertutup, dengan memutuskan bahawa orang ramai berhak mengetahui perkara yang berlaku.

Hakim, Datuk P. Anand semasa menolak permohonan itu berkata, walaupun identiti defendan bawah umur mesti dilindungi, tiada justifikasi untuk mengenakan larangan menyeluruh terhadap pelaporan media.

Beliau berkata, mahkamah perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi remaja itu daripada gangguan dan tekanan psikologi dengan prinsip keadilan terbuka, yang membolehkan orang awam meneliti prosiding mahkamah.

“Malah, sebahagian besar saman sivil itu melibatkan sama ada langkah berkesan telah diambil berhubung insiden di sekolah terbabit termasuk isu berkaitan dasar dan sistem, bukannya tertumpu semata-mata kepada defendan bawah umur itu.

“Kes ini juga akan memberikan tumpuan sama ada pihak berkuasa berkaitan mempunyai kewajipan menjaga kesejahteraan pelajar bagi memastikan persekitaran selamat termasuk menangani isu kesihatan mental,” katanya.

Anand berkata, mahkamah mengambil maklum Akta Kanak-Kanak 2001 yang mengehadkan pelaporan butiran yang boleh mengenal pasti seseorang kanak-kanak, selain mempertimbangkan kepentingan keadilan dan kepentingan awam.

“Terdapat banyak kes yang menyaksikan perintah dikeluarkan bagi melindungi kanak-kanak, namun prosiding tetap dijalankan dengan media dibenarkan membuat laporan, tertakluk pada sekatan tertentu,” katanya.

Hakim juga memutuskan bahawa defendan boleh memohon kemudian supaya saksi tertentu atau sebahagian keterangan mereka boleh didengar secara tertutup jika keterangan itu berkemungkinan akan mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit.

“Walaupun kanak-kanak mesti dilindungi, saya tidak nampak sebarang alasan untuk mengenakan larangan penuh terhadap pelaporan. Orang awam akan mendapat manfaat dengan mengetahui perkara yang berlaku dan melalui penghakiman yang dibuat,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, keluarga Yap Shing Xuen, 16, memfailkan saman sivil dengan menamakan beberapa agensi kerajaan, ibu bapa kepada remaja lelaki yang membunuh mangsa dan remaja itu sendiri sebagai defendan.

Saman itu membangkitkan persoalan sama ada langkah-langkah secukupnya diambil untuk menangani tanda-tanda amaran dan isu kesihatan mental di sekolah, serta tanggungjawab defendan yang dinamakan dalam saman tersebut.

Pada 14 September 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan dan melepaskan seorang remaja lelaki daripada pertuduhan membunuh selepas didapati tidak waras ketika kejadian berlaku.

Mahkamah memerintahkan remaja itu ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, atas perkenan Sultan Selangor bagi menjalani rawatan.

Jabatan Peguam Negara kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan. – Bernama

The post Kes tikam pelajar: Orang ramai berhak tahu kejadian – Hakim appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved