Orang ramai digesa henti sebar video insiden pelajar serang guru di Kuching

22 Oct 2026 • 5:51 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Orang ramai digesa supaya tidak terus menyebarkan rakaman video insiden seorang pelajar yang disyaki menyerang guru menggunakan senjata tajam di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak, kerana tindakan itu boleh menjejaskan privasi, maruah dan kesejahteraan individu terlibat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penyebaran rakaman berkenaan juga berisiko menyebabkan individu terlibat mengalami tekanan emosi serta menjadi sasaran gangguan dalam talian.

Menurutnya, media sosial tidak seharusnya dijadikan platform untuk mengaibkan seseorang atau menjatuhkan hukuman berdasarkan pandangan masyarakat sebelum fakta sebenar diketahui.

“Rakaman tersebut boleh menyebabkan tekanan lanjut, mendedahkan individu terlibat kepada gangguan dalam talian serta menjejaskan privasi dan maruah mereka.

“Apabila disebarkan, rakaman itu boleh tersebar dengan pantas dan kekal boleh diakses walaupun selepas kejadian berlalu,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.

Fatimah turut melahirkan rasa sedih dan bimbang terhadap kejadian membabitkan remaja berkenaan yang mendapat perhatian meluas di media sosial.

Beliau menegaskan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan guru dapat menjalankan tanggungjawab dalam persekitaran selamat, manakala pelajar pula bebas mengikuti pembelajaran tanpa ancaman keganasan.

Masyarakat jangan cepat menghukum

Katanya, sebarang kejadian membabitkan keganasan atau penggunaan senjata perlu dipandang serius dan ditangani sewajarnya demi melindungi seluruh komuniti sekolah.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu cepat menghukum, melabel atau mengaibkan remaja terbabit tanpa memahami keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian itu.

“Remaja yang terlibat masih dalam proses pertumbuhan dan perkembangan. Walaupun tingkah laku yang memudaratkan perlu ditangani, kita tidak seharusnya terburu-buru menghukum atau mengaibkannya.

“Kebertanggungjawaban dan belas ihsan bukanlah dua perkara yang saling bertentangan. Kita boleh memastikan keselamatan guru dan pelajar terpelihara, pada masa sama memastikan remaja berkenaan dilayan dengan bermaruah serta menerima bimbingan dan sokongan sewajarnya,” jelasnya.

Luahan hantaran Facebook

Dalam pada itu, Fatimah turut menyuarakan kebimbangan terhadap satu hantaran Facebook yang dilaporkan ditulis oleh remaja terbabit, menggambarkan perasaan kesunyian dan ketiadaan tempat bergantung.

“Saya tidak mempunyai sesiapa. Saya tidak mempunyai insan istimewa. Saya tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung harap. Saya dilahirkan bersendirian dan akan mati bersendirian,” menurut petikan hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya membuat andaian mengenai keadaan yang sedang dialami remaja itu, namun luahan berkaitan kesunyian dan rasa terasing tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, setiap kanak-kanak berhak berasa dihargai, didengari dan mendapat sokongan, terutama ketika berdepan kesukaran dalam kehidupan.

“Apabila seorang remaja berkata, ‘Saya tidak mempunyai sesiapa’, tindak balas kita sepatutnya membantu mereka mendapatkan sokongan yang diperlukan, bukannya menambahkan lagi rasa terasing,” katanya.

Sehubungan itu, Fatimah menyeru orang ramai supaya mengelakkan spekulasi serta menyerahkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak berkuasa dan bukannya menyebarkan rakaman berkenaan.

Tanggungjawab masyarakat

Beliau berkata, tanggungjawab masyarakat bukan sahaja memastikan sekolah kekal sebagai tempat selamat, tetapi juga memberi peluang kepada golongan muda yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bimbingan, sokongan dan memperbaiki diri.

“Kita tidak seharusnya menilai seseorang remaja hanya berdasarkan satu kejadian, namun pada masa sama tidak boleh mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan guru serta pelajar yang terkesan.

“Marilah kita memilih tanggungjawab berbanding sensasi, bimbingan berbanding penghinaan dan belas ihsan tanpa mengabaikan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas disyaki menyerang seorang guru wanita menggunakan objek tajam dipercayai kapak di sebuah sekolah antarabangsa swasta di Kuching.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman berkaitan insiden berkenaan tersebar di media sosial.

The post Orang ramai digesa henti sebar video insiden pelajar serang guru di Kuching appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved