Lagi 290 warga Filipina dihantar pulang

1 Nov 2026 • 10:19 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lagi 290 warga Filipina dihantar pulang

KOTA KINABALU: Seramai 1,069 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi dua operasi pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Sabah minggu ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata jumlah itu termasuk 800 tahanan yang dipindahkan dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, pada Khamis.

Katanya, operasi itu menggunakan kapal MV Antonia 1 dan membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Tawau, Sandakan dan Papar.

“Daripada 800 tahanan itu, seramai 590 lelaki dewasa, 88 wanita dewasa, 64 kanak-kanak lelaki dan 58 kanak-kanak perempuan, berusia antara 16 hari hingga 83 tahun.

“Semua kanak-kanak yang terbabit diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi operasi pemindahan dilaksanakan pada Selasa membabitkan 269 tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Mereka dihantar pulang menerusi Pelabuhan ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina, menggunakan perkhidmatan feri komersial.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tahanan warga Filipina yang berjaya dipindahkan ke negara asal seramai 1,069 orang pada minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Negeri turut memindahkan empat tahanan lelaki dewasa warga asing dari Depot Imigresen Sandakan pada Khamis. Mereka terdiri daripada seorang warga Nepal, seorang warga India dan dua warga Pakistan.

Mereka dipindahkan melalui udara dari Lapangan Terbang Sandakan ke KLIA2 sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal masing-masing.

Sitti Saleha berkata sehingga 29 Oktober lalu, seramai 7,490 tahanan PTI daripada pelbagai warganegara sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Daripada jumlah itu, seramai 5,357 adalah warga Filipina, Indonesia (1,789), Pakistan (139), China (141), Vietnam (29) dan 35 lagi dari negara lain.

Katanya, semua tahanan berkenaan sudah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang berkaitan serta memiliki dokumen perjalanan yang sah bagi memudahkan proses penghantaran pulang.

Beliau menasihatkan majikan supaya menyertai program pendaftaran data digital bagi warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Sabah bagi membantu mengurus dan merekodkan kehadiran pekerja asing di negeri ini, khususnya dalam sektor perladangan.

Sitti Saleha berkata inisiatif itu dijangka membantu menangani isu dokumentasi serta membendung kehadiran PTI dalam jumlah yang besar di Sabah.

“Jabatan Imigresen Sabah tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa permit dan dokumen perjalanan yang sah.

“Majikan yang didapati melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved