Kes Wanita Maut Tercampak Dari Van: Ada Pertengkaran Mulut Berlaku, Suami Positif Dadah

LocalPolitics
8 May 2025 • 10:20 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 6 Mei lalu, media melaporkan seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari sebuah van di tepi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 2.58 petang.

Apa yang menjadi perhatian, saksi mendakwa wanita yang berusia 44 tahun itu sebenarnya masih hidup ketika sedang berada di atas jalan tersebut dan meminta diberikan bantuan pernafasan (CPR).

Namun, mangsa kemudiannya meninggal dunia ketika ambulans sampai. Lebih mengejutkan, saksi mendakwa keadaan wanita itu amat teruk dengan terdapat beberapa kesan lebam pada badan mangsa.

Polis Tahan Suami Mangsa, Ada Pertengkaran Mulut Berlaku Sebelum Wanita Tercampak Keluar Dari Van

Terbaharu, polis mendedahkan berlaku pertengkaran mulut di antara mangsa dan suami sebelum wanita itu maut selepas tercampak keluar dari van berhampiran kawasan R&R Awan Besar menghala ke Petaling Jaya, Selangor.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang juga suami mangsa di Taman Kinrara Puchong jam 6 petang pada hari yang sama.

Jelas Aidil, hasil soal siasat awal mendapati suspek memaklumkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Suspek bekerja sebagai penghantar barangan pendingin hawa dan mempunyai satu rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan dadah,” katanya.

Saringan Air Kencing Tunjukkan Suspek Positif 3 Jenis Dadah

Tambahnya lagi, pasangan terbabit telahpun berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, benzo dan amphetamine.

“Menurut suspek, mangsa juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Polis Sedang Dapatkan Perintah Tahanan Reman

Memetik Berita Harian, pihak polis sedang dalam proses mendapatkan perintah tahanan reman suspek.

“Sudah semestinya fokus siasatan adalah kepada punca kejadian sama ada suspek menolak isterinya atau mangsa terjun sendiri,” jelasnya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 304AA Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian dengan sengaja.

Terdahulu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HCTM UKM bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kejadian.

Source: