Kesan Darah Dan Cebisan Daging Bawa Kepada Penemuan Mayat Lelaki 

24 Nov 2026 • 8:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kesan Darah Dan Cebisan Daging Bawa Kepada Penemuan Mayat Lelaki 

NIBONG TEBAL - Misteri penemuan kesan darah serta cebisan daging berhampiran sebuah parit pengairan di Kampung Baru, Ladang Byram, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh, malam tadi.

Penemuan itu bermula apabila seorang penyelia ladang melalui kawasan berhampiran pintu kawalan air dengan menunggang motosikal kira-kira jam 10 malam, sebelum terlihat kesan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang sebahagian tubuhnya terbenam di dalam lumpur.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas mengekori sebuah kereta peronda polis yang memasuki kampung tersebut lewat malam tadi.

Katanya, kehadiran kenderaan polis di kawasan kampung lazimnya menandakan berlaku sesuatu kejadian serius, mendorongnya untuk mengetahui perkara sebenar.

“Saya mengekori kereta peronda itu kerana setiap kali kenderaan polis memasuki kampung kami, biasanya ada sesuatu kejadian serius berlaku.

“Apabila tiba di sana, saya dimaklumkan mengenai penemuan seorang lelaki yang sudah meninggal dunia dan dipercayai menjadi mangsa pembunuhan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Ahmad, kawasan berkenaan kurang mendapat pencahayaan, namun sering menjadi laluan penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti harian.

Beliau turut memaklumkan bahawa pekerja asing jarang kelihatan di sekitar kawasan itu meskipun terdapat beberapa kawasan ternakan ikan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Identiti mangsa setakat ini masih belum dikenal pasti. - Getaran, 24 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved