
TRAGEDI yang meragut nyawa sekeluarga akibat dirempuh lori baru-baru ini bukan sekadar berita kemalangan jalan raya. Ia mengingatkan keselamatan kenderaan berat masih memerlukan perhatian serius dan pendekatan yang lebih menyeluruh.
Setiap kali kemalangan maut membabitkan lori, treler atau bas berlaku, persoalan yang timbul bukan hanya mengenai punca kejadian tetapi juga keberkesanan sistem sedia ada dalam mengenal pasti pemandu serta kenderaan berisiko tinggi. Apakah mekanisme yang ada benar-benar mampu mencegah tragedi sebelum berlaku?
Persoalan ini semakin penting ketika Malaysia sedang memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan dunia menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Negara mahu dikenali sebagai tempat yang menarik, selamat dan mesra pelancong. Namun, imej sesebuah destinasi tidak terbina melalui promosi semata-mata. Pengalaman sebenar ketika berada di jalan raya turut mempengaruhi persepsi pengunjung.
Pelancong yang bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain berkongsi jalan raya dengan lori, treler, bas dan pelbagai kenderaan berat. Justeru, keselamatan mereka bukan sekadar bergantung kepada kenderaan yang dinaiki, sebaliknya turut dipengaruhi tahap keselamatan keseluruhan sistem pengangkutan darat.
Beberapa kejadian pada tahun ini wajar menjadi peringatan. Pada Mei lalu, kemalangan membabitkan bas persiaran di laluan Genting Highlands mencetuskan kebimbangan selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi perhatian terhadap keadaan teknikal kenderaan serta rekod kesalahan trafik pemandu. Tindakan susulan bersama agensi berkaitan menunjukkan aspek pencegahan perlu diberi keutamaan bagi melindungi nyawa pengunjung.
Pada 31 Ogos pula, sebuah bas persiaran terlibat dalam kemalangan di Sibu, Sarawak, dengan kira-kira 23 penumpang dilaporkan cedera.
Dua kejadian ini tidak bermaksud bas pelancongan menjadi punca utama masalah keselamatan jalan raya. Sebaliknya, menunjukkan keperluan pemantauan berterusan terhadap pengangkutan yang membawa penumpang.
Skala isu kenderaan berat sebenarnya lebih luas. Data dibentangkan di Dewan Rakyat menunjukkan 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat direkodkan pada suku pertama 2024.
Daripada jumlah itu, 287 kes membabitkan kematian, 95 kecederaan parah dan 270 kecederaan ringan. Antara faktor dikenal pasti termasuk pemanduan melebihi had laju, keletihan, muatan berlebihan serta penyelenggaraan yang tidak sempurna.
Dalam keadaan ini, mekanisme pembaharuan lesen vokasional seperti Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) wajar dinilai semula.
Pembaharuan lesen tidak sepatutnya sekadar memastikan dokumen kekal sah, sebaliknya menjadi salah satu titik kawalan keselamatan.
Rekod kesalahan trafik, sejarah kemalangan, tahap kesihatan, kecergasan serta keupayaan mengendalikan kenderaan berat boleh dipertimbangkan dengan lebih menyeluruh.
Pendekatan berasaskan risiko juga wajar diteroka supaya pemandu yang mempunyai rekod lebih membimbangkan menjalani penilaian atau intervensi tambahan.
Sistem mata demerit seperti Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) pula perlu dimanfaatkan sebagai alat pencegahan, bukan sekadar rekod kesalahan.
Pada masa sama, syarikat pengangkutan mesti bertanggungjawab terhadap waktu bekerja pemandu, jadual perjalanan, penyelenggaraan kenderaan dan budaya keselamatan organisasi.
Teknologi juga boleh membantu. Pemantauan kelajuan, lokasi, tempoh operasi dan corak pemanduan membolehkan risiko dikenal pasti lebih awal. Pendekatan ini lebih baik daripada hanya mengambil tindakan selepas kemalangan berlaku.
Usaha memperkukuh keselamatan bukan bertujuan menyalahkan pemandu atau menekan industri pengangkutan. Sebaliknya, sistem perlu memastikan mereka yang mengendalikan kenderaan berisiko tinggi benar-benar bersedia, sihat dan kompeten.
Dalam konteks pelancongan, jalan raya ialah sebahagian daripada pengalaman pengunjung. Pelancong yang berasa selamat akan membawa pulang keyakinan positif terhadap Malaysia.
Sebaliknya, pengalaman berdepan pemanduan berbahaya atau kemalangan serius boleh menjejaskan tanggapan mereka terhadap negara.
Kita tidak perlu menunggu satu lagi tragedi untuk bertindak. Yang dipertaruhkan bukan sekadar pematuhan lesen, tetapi nyawa manusia, keyakinan pelancong dan imej Malaysia. –UTUSAN
DR. AFIQAH KAMARUL & DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN
Pensyarah Kanan,
Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
The post Keselamatan jalan raya ‘cermin’ Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






