Kesilapan cetak bintang, syarikat mohon maaf kepada Pejabat MB Kedah

29 Aug 2026 • 4:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kesilapan cetak bintang, syarikat mohon maaf kepada Pejabat MB Kedah

ALOR SETAR – Sebuah syarikat percetakan memohon maaf kepada Pejabat Menteri Besar (MB) Kedah atas kesilapan cetakan bintang tidak lengkap pada pakaian Jalur Gemilang yang turut dipakai Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu program kemerdekaan di sini semalam.

Pihak pengurusan syarikat tersebut, NE Creative Ventures membuat permohonan maaf secara terbuka itu menerusi satu surat yang bertarikh hari ini kepada Pejabat MB Kedah.

NE Creative Ventures dalam surat itu menyatakan pihaknya menerima komen daripada orang ramai berkaitan cetakan bintang sehingga ia menjadi isu.

“Pihak syarikat memohon maaf dan akan memastikan tidak akan berlaku lagi kesilapan sama,” katanya.

Dalam surat sama, syarikat menjelaskan bahawa reka bentuk tersebut dicetak berdasarkan bahan rujukan fail yang diterima dan melalui proses tracing teknikal semasa fasa pengeluaran.

“Kami mengakui berlaku kekhilafan di pihak kami apabila terpaksa menerima tempahan tambahan pada saat akhir bagi memenuhi tarikh akhir yang sangat singkat sehingga mengakibatkan proses semakan terperinci kurang teliti.

“Justeru itu, kami memohon maaf secara terbuka kepada pihak Pejabat MB Kedah atas kecacatan teknikal ini dan mengambil tanggungjawab penuh bagi memastikan pembetulan segera dilakukan melalui penyediaan pakaian gantian baharu yang mematuhi spesifikasi rasmi yang tepat,” katanya.

Pihak syarikat tersebut juga menyatakan akan menjadikan perkara itu sebagai pengajaran untuk memperketatkan prosedur operasi standard syarikat.

“Mulai hari ini, syarikat akan mewajibkan pelanggan menandatangani borang proof approval atau pengesahan draf akhir sebelum sebarang proses cetakan, terutama yang melibatkan lambang rasmi, jata negeri atau logo korporat. Ini bagi melindungi syarikat daripada sebarang liabiliti jika kesilapan berulang pada masa depan,” katanya.

Terdahulu, gambar Muhammad Sanusi dan beberapa individu lain tular di media sosial sehingga menerima kritikan orang ramai selepas cetakan bintang pada Jalur Gemilang didapati tidak lengkap 14 bucu.

Pakaian itu dipakai sempena program Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang, di sini semalam. – KOSMO! ONLINE

 

The post Kesilapan cetak bintang, syarikat mohon maaf kepada Pejabat MB Kedah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved