Kesilapan punca TFC tumbang di laman sendiri

30 Aug 2026 • 10:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kesilapan punca TFC tumbang di laman sendiri

KUALA NERUS: Perubahan corak permainan pada babak kedua dengan aksi lebih agresif mengundang kesilapan pemain menjadi punca Terengganu FC (TFC) kecundang 0-3 di tangan Selangor FC di gelanggang sendiri, kelmarin.

Dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, tiga jaringan pelawat diperoleh pada separuh masa kedua permainan menerusi dua jaringan pemain kelahiran Brazil, Chrigor Moraes dan Kay Tejan untuk memastikan Gergasi Merah mencatat kemenangan kedua berturut-turut.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain mengakui kesilapan dilakukan anak buahnya membuka ruang kepada skuad bimbingan Kim Pan Gon mencipta jaringan walaupun memberi saingan seimbang pada babak pertama.

Bekas pengendali skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu berkata, keputusan tersebut memberikan pengajaran kepada skuad Sang Penyu untuk memperbaiki kelemahan dan bangkit pada perlawanan seterusnya.

“Dari segi kesungguhan dan usaha yang ditunjukkan pemain, saya berbangga kerana kita tahu pasukan ini masih baru dibentuk dan mungkin memerlukan sedikit masa.

“Saya yakin dengan kualiti yang dimiliki pasukan dan pemain, kita mampu meningkatkan prestasi pada masa akan datang,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Pan Gon berkata, disiplin, komitmen dan keupayaan pemain memanfaatkan peluang menjadi resepi kejayaan Selangor FC membenam TFC di hadapan lebih 11,000 penyokong di laman lawan.

“Pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik dan saya meminta pemain mengekalkan intensiti selain memperbaiki taktikal.

“Apa yang pemain berikan sebenarnya lebih daripada apa yang saya minta, mereka menampilkan aksi yang sangat baik,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan Selangor FC kini menghuni tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Sementara itu, penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang mengalami kecederaan ketika bertembung dengan pemain lawan semasa pergelutan di udara, disahkan mengalami gegaran otak.

Kelab itu bagaimanapun memaklumkan, pemain berusia 24 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan sudah kembali bersama pasukan untuk pemantauan lanjut serta rawatan susulan.

“Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai perubatan perlawanan serta pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Zainal Abidin (HSZA) atas tindakan pantas dan bantuan kecemasan yang diberikan,” kata kelab itu di laman Facebooknya. – UTUSAN

The post Kesilapan punca TFC tumbang di laman sendiri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved