Pan Gon puas hati, Sikh Izhan stabil

30 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pan Gon puas hati, Sikh Izhan stabil

PETALING JAYA: Disiplin tinggi serta komitmen luar biasa yang dipamerkan pemain menjadi faktor utama kejayaan Selangor FC menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan skuad Red Giants meneruskan permulaan cemerlang musim ini dengan dua kemenangan berturut-turut, bagi mengukuhkan keyakinan pasukan dalam memburu kedudukan terbaik liga.

Walaupun beraksi di hadapan lebih 11,000 penyokong fanatik tuan rumah, Selangor berjaya menampilkan persembahan cukup berdisiplin sebelum meledak tiga gol pada babak kedua menerusi dua jaringan Chrigor Moraes dan satu gol daripada Kay Tejan.

Pengendali Selangor, Kim Pan Gon mengakui beliau berbangga dengan kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya yang berjaya menyerap tekanan sepanjang perlawanan menentang salah satu pasukan terbaik Pantai Timur itu.

Menurut jurulatih kelahiran Korea Selatan tersebut, beliau sudah menjangkakan perlawanan sengit memandangkan kedua-dua pasukan hadir dengan momentum kemenangan pada aksi pembukaan liga minggu lalu.

“Apa yang pemain berikan sebenarnya lebih daripada apa yang saya minta. Mereka mempamerkan persembahan yang sangat baik sehingga berjaya menjaringkan tiga gol di tempat lawan.

“Sudah tentu saya berasa sangat bangga dengan corak permainan yang ditampilkan oleh semua pemain. Perlawanan ini bukan mudah, termasuk faktor cuaca yang mencabar, namun mereka tetap melaksanakan tugas dengan cemerlang.

“Lebih menggembirakan saya ialah tahap disiplin mereka ketika menyerang dan bertahan. Perubahan taktikal yang dilakukan pada babak kedua juga memberi impak positif sehingga kami berjaya membawa pulang tiga mata,” katanya.

Pan Gon turut mengakui sokongan padu penyokong Selangor yang hadir ke Gong Badak memberikan suntikan semangat tambahan kepada pasukannya untuk terus berjuang sehingga wisel penamat.

Sementara itu, penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengalami gegaran otak selepas terbabit dalam insiden perlanggaran dengan penyerang Terengganu, Romel Morales.

Insiden itu berlaku pada babak kedua perlawanan yang menyaksikan Sikh Izhan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Selangor FC menerusi laman Facebook kelab, semalam, memaklumkan pemain berusia 24 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan sudah kembali bersama pasukan untuk pemantauan lanjut serta rawatan susulan.

“Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai perubatan perlawanan serta pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Zainal Abidin (HSZA) atas tindakan pantas dan bantuan kecemasan yang diberikan,” kata kelab itu. – UTUSAN

The post Pan Gon puas hati, Sikh Izhan stabil appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved