
KEBIJAKSANAAN pemain Selangor FC memanfaatkan peluang terhidang kunci kejayaan skuad Gergasi Merah menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.
Pengendali Selangor, Kim Pan-gon berkata, pemainnya berjaya menjalankan tugas dengan baik meskipun berdepan perlawanan yang cukup sengit di gelanggang lawan selepas mengakui sudah menjangkakan kekuatan yang dimiliki TFC.
“Saya sangat bangga dengan semua pemain. Ini perlawanan yang sukar termasuk faktor cuaca dan saingan lawan, tetapi mereka tetap melakukan tugas dengan baik. Apa yang mereka lakukan sebenarnya lebih daripada yang diminta,” katanya.
Pan-gon berkata, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, beliau telah mengingatkan pemain supaya mengekalkan kekuatan yang dimiliki selain melakukan sedikit pembetulan taktikal.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pemain Selangor tampil lebih tenang dan berdisiplin untuk memanfaatkan peluang yang hadir bagi menghasilkan jaringan.
“Saya menggalakkan mereka supaya mengekalkan apa yang ada. Kami bercakap mengenai kekuatan pasukan dan melakukan sedikit penambahbaikan taktikal. Mereka berjaya memberikan lebih daripada apa yang saya minta dan itu amat hebat,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin, tiga gol Selangor dihasilkan menerusi Chrigor Moraes yang meledak dua jaringan dan Kye Tejan.
The post Liga Super: Perubahan taktikal julang Selangor appeared first on Kosmo Digital.





