Ketiadaan kontrak jangka panjang mungkin jejas penampilan sulung THMY di Pasaran ACE pada 23 Oktober 2025, kata penganalisis

07/10/2025 - 11:50
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Okt - Ketiadaan kontrak jangka panjang dan kebergantungan kepada pesanan pelanggan utama menjadi antara faktor yang berkemungkinan menjejaskan penampilan sulung THMY Holdings Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Oktober 2025.
Malacca Securities berkata, menurut prospektus syarikat, THMY tidak mempunyai kontrak jangka panjang dengan pelanggan, sebaliknya bergantung kepada pesanan pembelian bagi menjana jualan.
Katanya, struktur perniagaan itu menjadikan prestasi kewangan kumpulan terdedah kepada turun naik permintaan pelanggan, terutama daripada pelanggan utama.
Antara pelanggan utama ialah Test Solution Co Ltd dan Pelanggan A, yang banyak menyumbang kepada segmen ICT. Kumpulan turut bergantung kepada Pico Electronics (S) Pte Ltd sebagai pembekal utama komponen elektronik.
“Kehilangan pelanggan utama atau gangguan rantaian bekalan boleh memberi kesan langsung kepada operasi serta pendapatan,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi mengukuhkan keupayaan operasi, THMY merancang membina kilang baharu berkeluasan 88,000 kaki persegi di Batu Kawan yang bakal menempatkan 20 stesen kerja baharu FCT menjelang 2026.
Selain itu, katanya, syarikat turut menambah mesin dan peralatan baharu bagi menggandakan kapasiti di kilang sedia ada, daripada 7 kepada 15 stesen kerja menjelang suku kedua FY26.
Langkah itu dijangka meningkatkan keupayaan kumpulan memenuhi permintaan pelanggan daripada sektor teknologi, media dan telekomunikasi yang memerlukan jumlah yang tinggi bagi rumusan ujian automatik.
Sementara itu, THMY mencatat lonjakan pendapatan 47.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM45.9 juta pada FY25, disokong pertumbuhan segmen ICT dan FCT, dengan keuntungan teras meningkat 70.6% kepada RM11.6 juta.
Margin keuntungan bersih meningkat kepada 21.9%, berbanding 5.1% pada FY22, didorong produk bernilai tambah tinggi serta penggunaan reinvestment allowance daripada pelaburan baharu di Batu Kawan.
Katanya, lonjakan penggunaan AI dan peningkatan permintaan terhadap chip EMS dan OEM dijangka terus menyokong pertumbuhan hasil kumpulan, memandangkan kadar penggunaan kilang kini mencecah lebih 80%.
Firma penyelidikan itu memberi nilai wajar 49 sen sesaham, peningkatan 58.1% daripada harga IPO iaitu 31 sen berdasarkan nisbah P/E 24.8x terhadap EPS FY27 sebanyak 1.98 sen. - DagangNews.com
standard

