MM Computer Systems rancang IPO di Pasaran ACE bagi pengembangan operasi, tenaga kerja

07/10/2025 - 16:49
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Okt - Penyedia rumusan teknologi maklumat (IT) MM Computer Systems Berhad merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana bagi pengembangan operasi dan tenaga kerja.
Kumpulan itu berkata, cadangan tawaran awam permulaan (IPO) itu melibatkan terbitan awam sebanyak 119 juta saham baharu dan tawaran penjualan 47.34 juta saham sedia ada.
Katanya, sejumlah 28.35 juta saham disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia manakala 28.35 juta saham untuk pengarah, pekerja dan pihak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan, sebanyak 38.77 juta saham untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 23.53 juta saham untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara itu, tawaran jualan melibatkan 47.34 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.
Pencapaian itu mencerminkan keyakinan kukuh pelanggan terhadap keupayaan kumpulan dalam mereka bentuk, melaksanakan dan mengurus infrastruktur IT kompleks
"Hasil daripada penyenaraian ini akan digunakan untuk memperoleh perkakasan dan perisian IT bagi menyokong projek berskala besar, meningkatkan keupayaan teknikal dan tenaga kerja melalui pengambilan serta pensijilan profesional dan melunaskan pinjaman bank berkaitan ibu pejabat baharu kumpulan serta menampung perbelanjaan penyenaraian," katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu menerusi Micro Technology Solution Sdn Bhd (MMCS) dan SMIND Sdn Bhd menyediakan rangkaian lengkap rumusan IT yang merangkumi infrastruktur dan rangkaian IT, keselamatan siber serta perkhidmatan penyumberan luar IT.
Dengan pengalaman operasi selama 22 tahun, MMCS berkhidmat untuk pelbagai syarikat berkaitan kerajaan , perusahaan dan korporat utama. Kumpulan ini turut bekerjasama rapat dengan gergasi teknologi global seperti Dell Technologies, Trend Micro, Hewlett Packard Enterprise (HPE), IBM, Sangfor Technologies dan Ruijie Networks bagi menyediakan penyelesaian digital yang selamat dan boleh diskalakan.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, MMCS mencatat hasil sebanyak RM73.7 juta dan untung selepas cukai RM8.7 juta, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen reka bentuk, pelaksanaan dan konfigurasi penyelesaian IT serta perkhidmatan penyumberan luar IT.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MM Computer Systems, Young Yoong Chang berkata, penyenaraian di Pasaran ACE merupakan perkembangan penting dalam rancangan pertumbuhan strategik syarikat.
“Langkah ini akan memacu transformasi kami daripada penyedia rumusan IT yang mampan kepada kumpulan teknologi berorientasikan pertumbuhan. Ia akan membolehkan kami menangkap permintaan yang semakin meningkat dalam ekonomi digital Malaysia, memperkukuh keupayaan dan memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Malacca Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, manakala SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan korporat.- DagangNews.com
standard

