Pengeluar kren, Liftech Group rancang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

07/10/2025 - 12:41
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Okt - Pengeluar kren dan lif industri, Liftech Group Berhad merancang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk pengembangan operasi.
Menurut draf prospektusnya, syarikat itu bercadang untuk memperluas perniagaan penyelenggaraan dan pembaikan dengan memperoleh kemudahan baharu di Bukit Minyak, Pulau Pinang, serta Kota Kinabalu, Sabah.
Liftech berkata, kemudahan sedia ada di Pulau Pinang kini hampir mencapai kapasiti penuh, sekali gus mengehadkan keupayaan syarikat untuk menerima pesanan baharu bagi menyokong pertumbuhan.
“Apabila kami terus memperoleh lebih banyak pesanan bagi mengembangkan perniagaan, ia memerlukan ruang kerja yang lebih besar untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, serta ruang penyimpanan bagi inventori dan jentera kami,” katanya.
Berpusat di Puchong, Liftech terlibat dalam reka bentuk dan pembinaan kren seperti kren jejambat dan kren gantri, serta lif industri termasuk lif barangan untuk pelanggan dalam sektor seperti industri keluli dan pembinaan.
Syarikat itu turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan berkaitan.
Tahun lalu, Liftech mencatat keuntungan bersih sebanyak RM6.6 juta dengan hasil sebanyak RM57.66 juta.
Kira-kira dua pertiga daripada hasil tersebut disumbangkan segmen pembuatan, manakala perkhidmatan menyumbang sekitar 19% dan aktiviti perdagangan komponen, aksesori serta peralatan lain menyumbang kira-kira 16%.
Kemudahan sedia ada di Inanam, Sabah pula merupakan premis sewaan, dan syarikat kini sedang dalam proses memperoleh bangunan milik sendiri di Kota Kinabalu bagi menyokong pertumbuhan masa depan, menurut Liftech.
Selain itu, syarikat turut merancang untuk membeli jentera dan peralatan baharu bagi kilangnya di Taiping.
Langkah itu dijangka dapat “meningkatkan kecekapan pembuatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual dan pembekal pihak ketiga bagi proses tertentu,” jelas Liftech.
Cadangan tawaran awam permulaan (IPO) itu melibatkan terbitan saham baharu pada harga yang akan ditentukan kemudian, menurut prospektus tersebut.
Pengarah Urusan, Ng Sea Kai dan Pengarah Eksekutif, Eng Peng Hong, turut akan menjual sebahagian pegangan saham mereka melalui tawaran jualan.
M&A Securities bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO ini, manakala Wyncorp Advisory dilantik sebagai penasihat kewangan korporat.- DagangNews.com
standard

