Johor tarikan baharu pelabur REIT dipacu peningkatan aktiviti perniagaan, pembangunan infrastruktur utama - penganalisis

07/10/2025 - 10:19
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Okt - Johor berpotensi menjadi tumpuan baharu pelabur dan dana amanah pelaburan hartanah (REIT) berikutan lonjakan aktiviti ekonomi rentas sempadan serta pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama seperti Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS Link) dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Maybank Investment Bank berkata, kombinasi faktor-faktor berkenaan akan memacu peningkatan nilai hartanah, kadar sewaan dan penghunian di kawasan strategik, terutamanya bagi REIT dengan pendedahan tinggi di Johor.
“RTS Link dan JS-SEZ dijangka menjadi pemangkin struktur jangka panjang yang bukan sahaja memperkukuh hubungan ekonomi dengan Singapura, malah menyokong pertumbuhan sewaan dalam sektor runcit dan industri,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan kadar pertukaran mata wang asing yang menguntungkan, Johor menikmati aliran tunai pengguna yang stabil daripada pelancong hujung minggu, sekali gus menjadikan negeri itu antara pasaran paling aktif bagi segmen hartanah serantau.
Katanya, dalam segmen runcit, Paradigm Mall Johor Bahru dan Mid Valley Southkey terus mengukuhkan dominasi masing-masing sebagai hab beli-belah serantau dengan penghunian hampir penuh sekitar 99%.
Kehadiran pelancong Singapura menjadi faktor utama kepada peningkatan trafik hujung minggu, yang secara langsung menyokong prestasi Paradigm REIT dan Al-Salam REIT.
“Sewaan baharu didorong oleh kemasukan jenama Singapura dan antarabangsa yang melihat Johor sebagai platform peluasan kos rendah tetapi berimpak tinggi,” katanya.
Momentum itu akan berterusan sekurang-kurangnya hingga selepas pembukaan RTS Link pada penghujung 2026, yang bakal memudahkan aliran harian pelawat antara kedua-dua negara.
Bagi sektor perindustrian, Maybank IB berkata, koridor utama seperti Senai, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri terus menarik minat pelabur serta penyewa sektor pembuatan berketepatan tinggi, elektrik dan elektronik (E&E) dan logistik.
Katanya, kadar penghunian asrama pekerja dan gudang kekal hampir penuh, manakala pelabur mula beralih kepada fasiliti yang patuh ESG, sejajar dengan keperluan syarikat multinasional.
Walaupun kekangan kapasiti tenaga dan air sedikit mengekang pembangunan pusat data, permintaan industri kekal teguh berikutan kos operasi yang lebih rendah berbanding Singapura serta lokasi strategik bagi aktiviti penyumberan serantau.
REIT seperti Axis REIT, AME REIT dan CapitaLand Malaysia Trust diramal muncul sebagai penerima manfaat utama apabila pelaksanaan JS-SEZ mula mempercepatkan pelaburan langsung asing (FDI) di selatan tanah air.
Pelabur REIT disaran menumpukan kepada dana yang mempunyai pendedahan strategik kepada aset di Johor, khususnya dalam segmen runcit dan perindustrian.
“Kami mengekalkan pandangan positif terhadap REIT dengan aset di Johor memandangkan asas yang kukuh, didorong permintaan penyewa yang stabil dan potensi kenaikan sewa,” katanya.- DagangNews.com
standard

