Ketidaktentuan permintaan global, tarif AS jejas unjuran pendapatan VS Industy – CIMB Securities

13/06/2025 - 15:57
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 13 Jun – CIMB Securities menyemak turun unjuran pendapatan sesaham VS Industry Bhd bagi FY25 hingga FY27 antara 10% hingga 20% susulan ketidaktentuan permintaan global, tahap perbelanjaan pengguna yang lemah serta risiko tarif.
Firma penyelidikan itu menjangkakan aliran pesanan jangka pendek dari Malaysia dan Singapura kekal bergantung kepada keadaan permintaan pengguna serta kejelasan mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) selepas tamat tempoh tangguh 90 hari pada awal Julai.
Kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM23.77 juta dan hasil RM909.41 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (3QFY25), lebih rendah berbanding RM54.42 juta dan RM1.01 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Keputusan itu hanya mencapai 49% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan dan 52% daripada unjuran pasaran.
Keuntungan kumulatif tahun ke tahun susut 42%, dipengaruhi permintaan lemah, kos buruh lebih tinggi di Malaysia, dan perbelanjaan awal operasi baharu di Filipina.
Firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran lebih rendah pada 79 sen.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB Research) turut menyuarakan kebimbangan terhadap keterlihatan pendapatan kumpulan.
Syarikat mencatatkan keuntungan utama selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM69.6 juta bagi tempoh sembilan bulan FY25 (9M25), susut 26.3% dan hanya mencapai separuh daripada unjuran setahun penuh HLIB Rsearch.
"Walaupun dijangka berlaku penghantaran awal daripada pelanggan terdedah AS pada 4Q25, kami melihat risiko penurunan terhadap panduan FY26 disebabkan kemungkinan pelarasan inventori dan ketidaktentuan pesanan selepas tempoh itu," tambah HLIB Research.
Namun begitu, HLIB menjangka potensi lonjakan pendapatan disokong oleh peningkatan operasi Filipina dan kontrak baharu daripada pelanggan utama.
HLIB Research mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham VSI dengan harga sasaran lebih rendah kepada 72 sen berbanding 86 sen sebelum ini.- DagangNews.com
standard


