
Ketika namanya masih menjadi bualan susulan gosip kononnya sudah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini hadir dengan perkembangan terbaharu dalam karier muziknya menerusi pelancaran single berjudul ‘Selesa’.
Menariknya, judul lagu tersebut seakan-akan hadir pada waktu yang cukup mencuri perhatian, apatah lagi ketika kisah peribadi penyanyi itu sedang hangat diperkatakan.
Bagaimanapun, ‘Selesa’ sebenarnya membawa naratif yang jauh berbeza apabila mengangkat kisah cinta tidak kesampaian, pengorbanan yang tidak dihargai serta kepedihan melepaskan seseorang yang paling disayangi demi kebahagiaannya bersama insan lain.
Dicipta bersama komposer Iqie Hugh, lagu ini berkisar tentang seseorang yang terlalu setia dalam mencintai sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat insan tersayang bahagia, meskipun akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa cinta tersebut bukan miliknya.
Lebih menyakitkan, individu itu sendiri menjadi orang yang membantu insan dicintainya menemui kebahagiaan bersama orang lain.
Menurut Hael, lagu berkenaan dekat dengan realiti kehidupan dan diharap dapat mewakili perasaan mereka yang pernah melalui pengalaman cinta sebegitu.
“Ada masanya, kita terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat dia bahagia, walaupun akhirnya kita sendiri yang terluka.
“Apa yang lebih menyakitkan apabila kita terpaksa membantu orang yang kita sayang untuk bahagia dengan orang lain, sedangkan kita tahu kebahagiaan itu bukan lagi milik kita,” katanya.
Bukan sekadar mempertaruhkan kekuatan melodi dan vokal, muzik video ‘Selesa’ turut menampilkan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia.
Penggambaran yang berlangsung di Jakarta itu menampilkan Anna Jobling bersama dua pelakon sinetron Indonesia, Antoni Blanco Junior dan Mahdy Reza. Muzik video berkenaan diarahkan oleh Prialangga.
Dalam perkembangan sama, ‘Selesa’ turut dipilih sebagai runut bunyi utama drama bersiri tempatan, ‘Suamiku Anak Emak’, yang dibintangi Emma Maembong, Keith Foo dan Izzue Islam.
Untuk rekod, single ini menyusul selepas Hael tampil dengan ‘Garah’, hasil kolaborasinya bersama Mimi Fly.
Selain perkembangan muzik, Hael juga bakal membawa nama Malaysia ke Korea Selatan apabila dijadualkan membuat persembahan di ROUND Festival pada 8 November ini.
Beliau turut dijadualkan membuat kemunculan di Wish 107.5 Bus di Namdong Gymnasium, Incheon sepanjang kunjungan tersebut.
Single ‘Selesa’ boleh distrim di semua platform penstriman digital bermula 30 Oktober 2026, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rocketfuel Entertainment. - Getaran, 30 Oktober 2026






