GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menegaskan peningkatan hasil negeri yang kini melepasi RM600 juta bukan berpunca daripada kenaikan cukai atau caj tambahan yang dikenakan kepada rakyat, sebaliknya didorong oleh lebihan (surplus) kewangan yang dicatatkan negeri pada tahun lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa peningkatan hasil negeri diperoleh melalui beban cukai yang dikenakan kepada rakyat adalah tidak tepat.
Menurutnya, angka hasil negeri melebihi RM600 juta yang diumumkan merupakan jumlah terkini manakala kedudukan hasil pada 31 Disember 2025 adalah melebihi RM500 juta.
“Pertambahan hasil itu berlaku susulan surplus yang besar pada tahun 2025 dan bukannya disebabkan kenaikan cukai.
“Kenaikan cukai tanah hanya berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Jadi, surplus yang dicatatkan sebelum itu tidak ada kaitan dengan kenaikan cukai tanah,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Penang Career Discovery Day X Penang HR Forward Forum 2026 pada Selasa.
Kon Yeow berkata demikian ketika mengulas kritikan yang mendakwa peningkatan hasil negeri dicapai menerusi pelaksanaan cukai, tarif dan caj tambahan yang membebankan rakyat.
Beliau menambah, peningkatan kedudukan kewangan negeri perlu dilihat berdasarkan prestasi pengurusan fiskal dan lebihan hasil yang berjaya dicapai kerajaan negeri bukannya dikaitkan secara langsung dengan pelaksanaan kenaikan cukai yang hanya bermula tahun ini.
Sebelum ini, beberapa pihak membuat dakwaan yang membandingkan prestasi kewangan Pulau Pinang dengan Johor menjelang pilihan raya negeri di negeri berkenaan.
Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah mengapa rakyat Johor perlu menukar kerajaan negeri sedia ada yang didakwa mempunyai prestasi kewangan semakin kukuh di bawah Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi kepada pentadbiran yang didakwa berdepan masalah kewangan.
Dakwaan berkenaan turut menyebut rizab tunai Johor di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) kekal stabil dan meningkat manakala rizab tunai Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP-Pakatan Harapan (PH) didakwa semakin menyusut sehingga menuju ke arah bankrap.
Malah, dakwaan sama turut mendakwa Kerajaan Pulau Pinang terpaksa mendapatkan pendahuluan RM100 juta daripada Kementerian Kewangan bagi menampung defisit tahun 2024 selain mendakwa negeri itu berdepan risiko kekurangan tunai.






