Pulau Pinang akui isu kewangan punca kelewatan Projek Pakej 2

LocalBusiness & Finance
25 May 2026 • 4:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau Pinang akui isu kewangan punca kelewatan Projek Pakej 2
Kon Yeow (empat dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta yang terlibat dalam menjayakan MV 'Oh Malaysiaku'.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang mengakui masalah kewangan dihadapi syarikat konsesi menjadi antara faktor kelewatan Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang kini dijadual siap pada April 2027.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kelewatan memang berlaku namun projek tersebut masih belum melepasi tarikh akhir yang ditetapkan.

Menurutnya, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada April 2027 sekiranya tiada sebarang masalah baharu berlaku.

“Kontrak ditawarkan pada 2020, bagaimana boleh jadi 14 tahun? Memang ada kelewatan, tetapi tarikh akhirnya adalah April 2027.

“Kerja masih berjalan dan kita harap projek itu dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran MV 'Oh Malaysiaku' oleh Persatuan Prihatin Komuniti Harmoni Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Ditanya sama ada pandemik Covid-19 juga penyebab kelewatan projek berkenaan, Kon Yeow berkata, alasan tersebut tidak boleh digunakan lagi.

“Covid-19 itu sudah berlalu, tak boleh gunakan alasan yang sama lagi,” katanya.

Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam sebelum ini dianugerahkan pada tahun 2013 namun kontrak pelaksanaannya ditawarkan pada 2020 sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan pada 2021.

Ia sepatutnya siap pada 2025 namun Penang Infrastructure Corporation (PIC) menjelaskan punca kelewatan projek susulan kekeliruan orang ramai berhubung tarikh siap baharu yang telah ditetapkan pada 12 April 2027.

PIC memaklumkan bahawa lanjutan masa hanya diluluskan setelah kontraktor membuktikan kelayakan berdasarkan fakta, bukti teknikal dan syarat kontrak yang berkuat kuasa.

Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.

Setelah siap kelak, jalan raya bebas tol sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu itu akan memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit ke sekitar 5 minit.

Projek bernilai RM851 juta tersebut dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction (CZC) dengan kendalian PIC melibatkan pembinaan tiga persimpangan bertingkat iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah serta Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang merangkumi persimpangan masuk-keluar kiri dan pusingan U bertingkat.