GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pertimbangan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan projek pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong dan penambakan laut di Persiaran Karpal Singh.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perbincangan itu merupakan sebahagian daripada proses yang sedang berjalan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung projek berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu memahami sepenuhnya pertimbangan yang diambil oleh JAS terhadap permohonan EIA bagi kawasan projek tersebut.
“Kami telah bertemu dengan JAS untuk memahami pertimbangan berkaitan permohonan EIA di tapak projek itu. Proses ini masih berjalan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Penang Career Discovery Day X Penang HR Forward Forum 2026 pada Selasa.
Beliau berkata, setiap keputusan dibuat kerajaan negeri perlu berpandukan maklumat yang tepat dan melalui prosedur sewajarnya.
“Kami sedar terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak sabar dan telah membuat pelbagai dakwaan terhadap kerajaan negeri.
“Namun saya sentiasa menegaskan bahawa proses membuat keputusan mesti didahului dengan pertimbangan sewajarnya berdasarkan maklumat yang tepat,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri perlu melalui proses yang betul kerana sebarang keputusan dibuat akan membawa implikasi tertentu khususnya dari aspek kewangan.
Sebelum ini, sebuah NGO, Protect Karpal mengeluarkan kenyataan mempersoalkan sama ada pemaju yang terlibat dalam Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) Tapak Pelupusan Sampah Jelutong menerima layanan atau kelonggaran luar biasa.
NGO itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai beberapa lanjutan tempoh masa (EOT), semakan terhadap struktur pembayaran dan skala cadangan projek penambakan laut yang dikemukakan.
Mereka juga mempersoalkan kewajaran penstrukturan semula kewangan dan pemberian lanjutan tempoh yang berterusan meskipun projek berkenaan berdepan beberapa penolakan EIA serta kelewatan untuk dimulakan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, JAS telah menerima satu lagi permohonan EIA yang dikemukakan oleh pihak pemaju.
“Exco Alam Sekitar negeri telah mengadakan pertemuan dengan JAS semalam dan beliau akan membentangkan hasil perbincangan tersebut kepada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri esok,” katanya.





