GEORGE TOWN – Rizab tunai Kerajaan Pulau Pinang menunjukkan perkembangan positif apabila akaun hasil disatukan negeri itu kini mencecah RM616 juta, sekali gus menepis dakwaan kononnya kedudukan kewangan negeri semakin merosot sehingga mengalami defisit.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dakwaan yang membandingkan kedudukan rizab tunai Pulau Pinang dengan negeri lain, khususnya Johor perlu dilihat berdasarkan kedudukan kewangan semasa dan bukannya data lama.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memantau kedudukan kewangan secara rapi bagi memastikan rizab negeri kekal stabil meskipun sebelum ini terdapat jangkaan ia akan menyusut sehingga RM50 juta.
“Kita percaya data yang digunakan sesetengah pihak mungkin merujuk kepada tahun 2024 sedangkan kedudukan bagi 2025 dan 2026 masih belum ditutup.
“Boleh dikatakan daripada jangkaan rizab merosot sehingga RM50 juta, perkara itu tidak berlaku malah kini kedudukan semakin meningkat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program turun padang di kawasan Dewan Undangan Negeri Air Putih di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A Rajendran.
Kon Yeow berkata, Pulau Pinang turut menikmati lebihan kewangan yang memberangsangkan sepanjang 2025 manakala bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, peningkatan hasil turut direkodkan.
“Walaupun tahun kewangan 2026 masih belum berakhir, kita sudah mendapati reserve daripada akaun hasil disatukan meningkat lebih RM600 juta.
“Seperti yang saya nyatakan dalam Dewan, selepas meneliti hasil-hasil yang dijangka, saya memberi komitmen bahawa apabila tamat tempoh perkhidmatan saya nanti, saya akan berikhtiar memulihkan reserve negeri kepada RM1 bilion,” katanya.
Mengulas kecenderungan pihak tertentu membandingkan prestasi Pulau Pinang dengan Johor sejak kebelakangan ini, beliau menyifatkan perkara itu sebagai lumrah memandangkan negeri berkenaan bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
“Maklumlah ada PRN.
"Sebab itu banyak perbandingan dibuat,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pihak membuat dakwaan yang membandingkan prestasi kewangan Pulau Pinang dengan Johor menjelang PRN di negeri berkenaan.
Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah mengapa rakyat Johor perlu menukar kerajaan negeri sedia ada yang didakwa mempunyai prestasi kewangan semakin kukuh di bawah Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, kepada pentadbiran yang didakwa berdepan masalah kewangan.
Dakwaan berkenaan turut menyebut rizab tunai Johor di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) kekal stabil dan meningkat manakala rizab tunai Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP-Pakatan Harapan (PH) didakwa semakin menyusut sehingga menuju ke arah bankrap.
Malah, dakwaan sama turut mendakwa Kerajaan Pulau Pinang terpaksa mendapatkan pendahuluan RM100 juta daripada Kementerian Kewangan bagi menampung defisit tahun 2024 selain mendakwa negeri itu berdepan risiko kekurangan tunai.






